KEB 2024 penting bincang isu-isu bumiputera - Utusan Malaysia

KEB 2024 penting bincang isu-isu bumiputera

Ibrahim Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) menyeru semua  ahli politik berganding bahu mengukuhkan kedudukan bumiputera pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan berlangsung di Putrajaya pada 28 Februari hingga 2 Mac. 

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, ahli-ahli  kongres yang bakal berkumpul  seharusnya hanya membabitkan dalam kalangan semua bumiputera manakala bukan bumiputera tidak harus diberi ruang campur tangan. 

“Ahli kongres harus terdiri daripada orang Melayu berikutan sekiranya dihadiri oleh ahli bukan bumiputera  suara kita akan terhalang. 

“Apabila hal orang Melayu disuarakan oleh ahli kongres bukan Melayu, ia akan menjadi isu yang sensitif di kemudian hari,” kata beliau di Ibu Pejabat Putra di sini semalam.

Menurut beliau, kehadiran ahli-ahli kongres bukan bumiputera  bukan untuk menidakkan peranan mereka, tetapi kehadiran mereka menyukarkan perbincangan untuk menyuarakan agenda Melayu. 

Dalam pada itu, Ibrahim juga menyuarakan kerisauan  mengenai   tanah rizab Melayu di negara ini yang didakwa kini  hanya tinggal 12 peratus sahaja. 

Susulan itu, Ibrahim  mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang diwakili oleh orang yang berintegriti dan berwibawa untuk merungkai kedudukan tanah milik orang Melayu. 

KEDUDUKAN

“Saya mengajak ahli kongres turut memberi perhatian mengenai kedudukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ketika ini lantang disuarakan oleh orang bukan bumiputera untuk menerima pelajar bukan Melayu. 

“UiTM ditubuhkan hasil daripada KEB yang terawal, jika menerima masuk pelajar bukan bumiputera, maka mana keistimewaan kita sebagai bumiputera?” soalnya. 

Ibrahim juga mempersoal adakah propaganda ‘Malaysian Malaysia’ yang dilaungkan  DAP akan diteruskan dengan hak sama rata semua bangsa.

“Peserta kongres dalam kalangan Melayu harus mengambil berat isu ini, bukan sekadar ‘menang sorak, kampung tergadai,” katanya. 

Mengenai isu pemberhentian Datuk Dr. Ammar Abdul Ghapar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Ibrahim berkata, tindakan itu sebagai tindakan biadab. 

“Tidak patut dilakukan oleh seorang yang menjawat jawatan Menteri memecat orang sesuka hati tanpa satu alasan yang konkrit” katanya. 

Menurut Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran melucutkan jawatan King Sing secepat mungkin berikutan dikhuatiri menyalah guna kuasanya sebagai seorang menteri.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×