Gambar ilustrasi kawah dalam laut di media sosial kurang tepat - Utusan Malaysia

Gambar ilustrasi kawah dalam laut di media sosial kurang tepat

ANTARA gambar ilustrasi kawah dalam laut di Pantai Buruk kurang tepat yang tersebar media sosial, baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penularan gambar ilustrasi kawah dalam laut yang membanjiri media sosial susulan kes lemas di Pantai Batu Buruk baru-baru ini adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, penularan gambar ilustrasi tersebut menyebabkan orang ramai menjadi keliru dengan istilah kawah dalam laut.

Menurutnya, apa yang terjadi di Pantai Batu Buruk ialah beberapa bahagian dasar lautnya agak dalam namun ia berbeza dengan kawah dalam laut atau lebih dikenali sebagai ‘Seabed Crater’.

Beliau berkata, kawah dalam laut pula boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai proses termasuk impak daripada angkasa, aktiviti gunung berapi, runtuhan dan aliran lumpur dasar laut.

“Kawah dalam laut juga boleh terbentuk melalui gerakan cerun, penggalian semasa letupan, dan kegagalan yang disebabkan oleh pemadatan bawah permukaan yang berlaku berkaitan dengan terobosan sedimen dan bendalir.

“Tidak dinafikan juga kawah dalam laut boleh terbentuk oleh pusaran air yang kuat tetapi ia jarang berlaku di Malaysia kerana suhu air laut dan udara tidak jauh bezanya yang boleh membentuk pusaran seperti puting beliung di darat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, media sosial dibanjiri pelbagai gambar ilustrasi dan ulasan yang mengaitkan kejadian lemas seorang lelaki di Batu Buruk dekat sini pada Februari lalu dengan kawah dalam laut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bahagian dasar laut yang dalam seperti di Pantai Batu Buruk adalah berbahaya untuk sebarang aktiviti riadah di laut kerana membawa risiko kematian akibat lemas.

Beliau berkata, dasar laut yang dalam boleh terjadi di mana-mana kawasan pantai apabila wujudnya kawasan beting pasir.

Jelasnya, beting pasir adalah pasir atau sedimen yang terbenam atau separa terdedah yang terbentuk oleh ombak dan arus berhampiran pantai.

“Formasi beting pasir juga boleh berbeza dari segi saiz, beberapa sentimeter hingga struktur setinggi enam meter.

“Beting pasir banyak terbentuk ketika musim ribut akibat dari hakisan di pantai dan membawa pasir ke dalam laut dan terjadinya beting pasir ribut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×