Kerajaan putus harga beras petang ini

Kerajaan putuskan harga beras petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memutuskan harga beras dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) petang ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme harga beras di samping melihat barangan keperluan asas rakyat.

Beliau berkata, sebarang keputusan mestilah datang daripada kerajaan namun tidak menghalang mana-mana pihak memberi pandangan.

“Itu (beras) mesyuarat petang ini, yang bincang masalah beras sahaja kerana inisiatif dibuat itu menjual ayam, daging dan sayur itu harga lebih murah.

“Tapi pengumuman harga beras, mestilah pengumuman kerajaan. Kalau ada cadangan tersendiri, itu negara demokrasi boleh. Tapi tidak merupakan keputusan. Kerajaan akan buat keputusan petangm ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Exchange 106, di sini hari ini.

ANWAR IBRAHIM

Anwar dijangka mempengerusikan Mesyuarat Khas NACCO bagi membincangkan isu kos sara hidup terutama bekalan beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataannya turut menjelaskan kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani seperti diumum Ketua Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk dalam kalangan pemain industri peruncitan.

Sementara itu, Anwar berkata, Kementerian Pertahanan akan melaporkan berhubung isu peletakan jawatan tiga pegawai kanan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentara (LTAT) kepada Jemaah Menteri.

“Itu sedang dikendalikan Menteri Pertahanan dan akan melaporkan kepada Kabinet,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletak jawatan mereka sejak sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Isu terbabit bermula apabila Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman mengumumkan pengundurannya berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Susulan itu, Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mengumumkan peletakan jawatannya seminggu kemudian.

Kemudian, Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar turut dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×