KANGAR: Lebih 1,000 nelayan dihentikan pemberian subsidi petrol dan diesel susulan kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat ditetapkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Jumlah nelayan yang dihentikan pemberian subsidi sentiasa berubah-ubah kerana LKIM melakukan proses pemutihan pada setiap bulan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara syarat utama perlu dipatuhi oleh nelayan bagi melayakkan mereka menerima bantuan subsidi adalah dengan turun ke laut selama 120 hari dalam tempoh setahun dan aktif menjalankan kerja-kerja tangkapan ikan.
“Ini antara syarat yang selalu diperincikan dan dinilai oleh LKIM dalam pemberian subsidi bagi melayakakan mereka menerima bantuan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di Pusat Transformasi Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan, Kuala Sungai Baru, di sini semalam.
Berdasarkan rekod LKIM, terdapat 86,000 nelayan berdaftar di negara ini di mana 36,000 merupakan penerima subsidi diesel dan petrol yang layak.
LKIM
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, LKIM sememangnya tidak berkompromi dengan mana-mana nelayan yang gagal mematuhi syarat bagi membolehkan bantuan berkenaan diberikan kepada mereka lebih layak khususnya golongan muda yang baharu menceburi diri dalam bidang tersebut.
“Jika dilihat, 30 peratus daripada jumlah 86,000 nelayan di negara ini juga adalah merupakan golongan muda.
Proses pemutihan ini memang selalu dilaksanakan melalui persatuan-persatuan nelayan bagi membolehkan penilaian dibuat sebaiknya oleh LKIM,” katanya.
Mengulas program berkenaan, Muhammad Faiz berkata, seramai 100 anak nelayan menerima bantuan persekolahan di mana setiap seorang membawa pulang kupon tunai bernilai RM100, beg sekolah, topi, botol air, buku nota dan alat tulis.
Katanya, program anjuran LKIM dengan kerjasama Petronas Dagang Berhad dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) itu juga adalah bertujuan bagi membantu mengurangkan kos nelayan sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah tidak lama lagi.
“Ini merupakan sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana kita agihkan pemberian buat lima buah negeri iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.
“LKIM sentiasa memastikan nasib dan masa depan nelayan bersama keluarga mereka terbela untuk merasai kehidupan lebih selesa pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










