TNB dukung Malaysia menuju sifar bersih

TNB dukung Malaysia menuju sifar bersih melalui projek solar terapung

LAKARAN artis, TNB Genco dan PKNPk sedang mengkaji kemungkinan untuk memasang sehingga 100MW Hidro Hibrid Solar Terapung di Skim Hidro Sg. Perak. - GAMBAR TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) bercadang melaksanakan projek solar terapung 2,500 Megawatt (MW) Hibrid Hidro (HHFS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, inisiatif Peralihan Tenaga itu bertanggungjawab dalam menyediakan solusi tenaga lestari dengan impak ekologi yang positif.

Beliau berkata, dengan menggunakan air untuk pepasangan solar, TNB boleh menjimatkan penggunaan tanah, mengekalkan habitat semula jadi dan mengurangkan pengewapan air.

“Berbeza dengan loji janakuasa termal, ladang solar terapung tidak menghasilkan buangan air atau udara yang boleh memberi kesan negatif kepada kualiti persekitaran (air atau udara). Ia membantu mengurangkan pencemaran dan menyokong biodiversiti dengan kadar gangguan yang minimum kepada ekosistem akuatik.

“Solar terapung adalah sejajar dengan prinsip pembangunan tenaga Lestari dengan mengurangkan impak perubahan iklim, melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta memberikan manfaat ekonomi dari segi pelaburan dan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.

“Secara keseluruhannya, ia mencerminkan integrasi harmoni penjanaan TBB dengan pemeliharaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, perancangan teliti dan penilaian impak alam sekitar merupakan aspek penting dalam memastikan integrasi yang lestari bagi pepasangan ini ke dalam ekosistem air.

Melalui projek solar terapung mini TNB di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak, TNB akan menjalankan kajian ekologi melalui TNB Research Sdn Bhd (TNBR), anak syarikat milik penuhnya.

“Setiap komponen sistem solar terapung dipilih dan direka dengan teliti. Malah, pengapung atau ponton juga diperbuat daripada polyethene berketumpatan tinggi yang diperakukan (certified food-grade high-density polyethene) untuk mengurangkan impak ke atas kualiti air.

“Projek ini tidak menunjukkan kesan buruk terhadap hidupan liar yang tinggal di kawasan sekitar,” katanya.

TNB merancang untuk mempercepat pelaksanaan 2,500MW HHFS, bermula dengan 30MW di Empangan Hidro Chenderohnya, diikuti, dengan lokasi di Empangan Hidro Temenggor dan Kenyir.

“Ladang solar terapung boleh melengkapkan sumber TBB lain untuk membekalkan tenaga kepada grid kebangsaan dengan potensi untuk meningkatkan tenaga bersih secara ketara,” katanya.

Sebagai entiti utama, TNB telah menandatangani kerjasama dengan agensi – agensi negeri yang berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Terengganu Incorporated (TI) bagi  memastikan pembangunan HHFS dilaksanakan dengan berjaya dan bertanggungjawab.

Baharin menekankan, TNB mengambil langkah yang besar dalam komitmen untuk mendorong inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi bersih serta memimpin projek unggul yang penting seperti dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Usaha dalam bidang solar terapung merupakan sebahagian daripada strategi TNB untuk mempercepatkan dekarbonisasi dalam penjanaan tenaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×