GEORGE TOWN : Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) tidak akan menghakis kuasa negeri kerana ia tidak akan mengubah kuasa serta fungsi Ketua Pendakwa Syarie Negeri yang digariskan di bawah Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Negeri.
Malah, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, penubuhan tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang positif terutama untuk memisahkan peranan dan tugas pihak penguatkuasa dengan pihak pendakwaan.
“Penubuhannya (JPSM) dapat menamatkan pertindihan kuasa antara Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Syariah.
“Sepatutnya jabatan tersebut sudah lama ditubuhkan untuk memudahkan serta melancarkan pengurusan kes-kes yang dikemukakan oleh masyarakat Islam supaya diselesaikan oleh Mahkamah Syariah,” katanya di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan menubuhkan JPSM dalam usaha memperkukuh ekosistem perundangan syariah di negara ini.
Zulkifli berkata, proses penubuhan JPSM kini dalam peringkat perbincangan dan ia merupakan inisiatif yang sedang digerakkan kerajaan, selain meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).-UTUSAN










