KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional (NACS) menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) perlu dipercepatkan bagi mengekang ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah secara menyeluruh.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, NACP bermula 2019 dan tamat tahun lalu yang memfokuskan kepada pemantapan governans, integriti dan antirasuah dalam sektor awam demi meningkatkan kecekapan dan ketelusan urus tadbir kerajaan.
Namun, menurut beliau, kepentingan pengukuhan integriti dan antirasuah dalam sektor swasta juga tidak boleh dipandang enteng dan perlu menjadi salah satu agenda utama dalam usaha murni ini.
Oleh itu, kata Mohd Zuki, kerajaan memperkenalkan NACS 2024-2029 sebagai kesinambungan kepada NACP iaitu satu inisiatif pelaksanaan pentadbiran berlandaskan tata kelola baik untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya difahamkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa NACS pada 2024-2029 bakal dilancarkan pada pertengahan tahun ini.
“Ia akan memfokuskan kepada keberkesanan pencegahan rasuah serta meningkatkan tata kelola baik dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali ke-10 di WTC, di sini hari ini.
BERPUAS HATI
Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, semua pihak tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian terkini Malaysia yang berjaya memperbaiki skor dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023.
Beliau mengingatkan, semua lapisan masyarakat agar memberi tumpuan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi terus melonjakkan kedudukan negara dalam pengukuran CPI, seiring sasaran kedudukan ke-25 terbaik menjelang 2033.
Pelanggaran dan pencerobohan integriti boleh berlaku, bukan hanya ketika berdepan orang ramai, tetapi turut membabitkan penggunaan sistem digital yang mungkin boleh dieksploitasi atau diubah suai.
“Biarpun kita berjaya meningkatkan penguatkuasaan, tetapi bukan bermakna kita perlu terus berpuas hati kerana masih banyak ruang untuk penambahbaik,” jelasnya.
Kata beliau,cabaran untuk berdepan jenayah rasuah dan salah guna kuasa kini semakin kompleks.
Justeru, beliau menasihatkan semua jabatan, agensi dan organisasi sektor awam serta Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs)mengambil tanggungjawab untuk bersama merealisasikan pemantapan tata kelola baik.
Sementara itu, Azam ketika berucap dalam majlis sama berkata, SPRM beriltizam untuk menyahut hasrat kerajaan yang mensasarkan kedudukan ke-25 terbaik dalam pengukuran CPI menjelang 2033.
PENCAPAIAN
Kata beliau, NACP 2019-2023 menyaksikan pencapaian pelaksanaan kira-kira 62 peratus daripada 115 inisiatif sehingga penghujung tahun 2023.
“Seperti sedia maklum, SPRM merupakan agensi peneraju bagi 11 inisiatif serta bertindak sebagai agensi sokongan bagi 22 inisiatif lain dalam NACP.
“Peranan dan tanggungjawab CeIO semakin diperkukuh melalui salah satu strategi yang terkandung dalam NACP iaitu memperluaskan penempatan mereka di semua Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan yang ditubuhkan oleh Kerajaan melalui penubuhan Unit Integriti (IGU),” jelasnya.
Kata beliau, penubuhan IGU merupakan focal point kepada pengurusan isu-isu berkaitan integriti di semua agensi awam.
“CeIO sebagai pegawai yang bertauliah telah diberi tanggungjawab untuk mengemudi IGU di seluruh negara sebagai satu usaha untuk membendung salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi dalam kalangan penjawat awam” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 481 peserta terdiri daripada pegawai sektor awam dan swasta serta syarikat berkaitan kerajaan turut diberi sijil pentauliahan integriti pada majlis anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM itu.
Pada 31 Januari lalu, Transparency International – Malaysia (TI-M) mengumumkan negara berjaya memperbaiki kedudukan skor CPI 2023 daripada 47 kepada 50 mata dengan kenaikan empat anak tangga 61 ke 57 daripada keseluruhan 180 negara yang dinilai.- UTUSAN











