Rakyat berusia 18 tahun layak mengundi mulai Julai 2021 - Utusan Malaysia

Rakyat berusia 18 tahun layak mengundi mulai Julai 2021

DR. AZMI SHAROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya mulai Julai 2021 seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak mengundi berikutan sistem pendaftaran pengundi automatik sedia dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom memberitahu Utusan Malaysia bahawa pi­haknya ketika ini dalam proses mengemas kini daftar pe­mi­li­h termasuk mengenal pasti empat juta rakyat berusia 21 tahun ke atas yang belum berdaftar.

Ini bermakna, kata beliau, jika Pilihan Raya Umum ke-15 dijalankan pada akhir tahun ini atau Disember 2020, pengundi berusia 18 hingga 20 tahun tidak layak mengundi.

“Pada anggaran SPR, paling lewat pun mesti siapkan sistem pendaftaran pengundi automatik pada Julai 2021.

“Jadi, selepas Julai 2021, pe­ngun­di berumur 18, 19 dan 20 tahun akan didaftarkan secara automatik. Begitu juga dengan sesiapa sahaja yang belum berdaftar akan didaftarkan secara automatik.

“Dengan itu pada masa itulah (selepas Julai 2021) undi 18 tahun akan terpakai dan berkuat kuasa.

“Ini yang telah pun ditentukan oleh Parlimen. Kita harus ikut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara SPR di sini baru-baru ini.

Parlimen pada 25 Julai 2019 menerusi Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan majoriti dua pertiga selepas 10 hari RUU berke­naan diluluskan di Dewan Rak­yat.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya akan datang menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding usia 21 tahun sebelum ini selain pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik.

Pada 16 Julai tahun lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri menganggarkan seramai 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih sehingga 2023 susulan pendaftaran secara automatik dilaksanakan bersama dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Azmi berkata, Parlimen telah menentukan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pengun­di secara automatik harus berjalan serentak.

“Bagi menjayakan matlamat itu, SPR akan bekerjasama de­ngan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Ini kerana kami di SPR perlu menilai beberapa ciri kelayakan pengundi termasuk taraf kesihatan mental, status kewarganegaraan dan beberapa perkara berkaitan termasuk status individu di penjara,” katanya.

Ditanya mengapa pro­ses itu terlalu panjang, Azmi berkata, pihaknya tidak ber­sedia untuk perkara itu dan ia juga sa­tu kejutan untuk SPR.

“Kita sudah ada sistem, umur 18 tahun daftar sahaja.Tetapi oleh kerana Parlimen nak juga pendaftaran automatik dan undi 18 tahun berlaku serentak, itu sebabnya kena tunggu sampai 2021.

“Ia bukan macam kita ambil kad pengenalan dan secara automatik sahaja, ia lebih kompleks. Jadi, untuk kita adakan perkhidmatan yang canggih tetapi selamat dan dipercayai, ia mengambil masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×