GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak mengesan sebarang perubahan ketara dalam kualiti air terawat yang dibekalkan di negeri ini susulan pembuangan sisa ladang ke Sungai Kulim, Kedah baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, Sungai Kulim merupakan sumber air mentah yang diteroka untuk mengisi semula Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) dan menghasilkan air terawat setiap hari di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Toh Allang di Seberang Perai Utara.
“Sehingga kini, data ujian air tidak mendedahkan sebarang isu kualiti air terawat yang signifikan.
“Untuk pengetahuan, ujian kualiti air ini dikendalikan bersama oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan PBAPP. Prosedur ini bertujuan memastikan air terawat PBAPP mematuhi parameter Program Jaminan Kualiti (QAP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah telah mengesan berlakunya kegiatan pelepasan sisa ternakan babi disyaki berpunca dari ladang perkampungan Sungai Lembu yang menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.
Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan mendapati, pelepasan sisa tersebut bukan berpunca dari ladang babi itu, sebaliknya, ia adalah sisa dari ladang itik baka.
Menurut Pathmanathan, ketika ini, PBAPP masih menguji kualiti air mentah yang diabstrak daripada semua sumber air mentah di Pulau Pinang, serta air terawat daripada semua loji rawatan air (LRA).
“Sepanjang 10 hari yang lalu, keputusan ujian PBAPP tidak mendedahkan berlakunya sebarang pelanggaran besar terhadap parameter ujian air yang ditetapkan oleh KKM.
“Oleh itu, pelepasan ladang yang dilaporkan tidak menjejaskan kualiti air terawat di Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, PBAPP akan terus berwaspada dalam memantau kualiti air dan memberi jaminan kepada semua pengguna air di Pulau Pinang bahawa PBAPP akan melaporkan sebarang isu kualiti air yang dikesan dengan cara yang tepat dan cepat.
Dalam pada itu, katanya, tanggungjawab utama PBAPP adalah untuk terus membekalkan air terawat yang selamat dan bersih kepada 689,786 pengguna air di Pulau Pinang.
“Kami amat menghargai tindakan segera dan tegas yang diambil oleh kerajaan negeri yang mendedahkan punca dan sebab sebenar pencemaran Sungai Kulim yang dilaporkan.
“Kami berharap tindakan pengawal seliaan yang sewajarnya akan diambil untuk meninjau secara konsisten dan melindungi sumber air mentah Pulau Pinang seperti sungai dan anak sungai,” katanya.-UTUSAN











