Penjual ikan ditemukan mati terbaring dalam rumah - Utusan Malaysia

Penjual ikan ditemukan mati terbaring dalam rumah

MAYAT mangsa ditemukan di dalam sebuah rumah di Taman Permint Perdana, Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, malam tadi. - TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya di Taman Permint Perdana dekat Kampung Seberang Takir di sini, semalam.

Mayat lelaki yang berusia 51 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring kira-kira pukul 7.10 malam dan disyaki sudah beberapa hari meninggal dunia.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan bau busuk di sebuah rumah.

Menurut beliau, setibanya di lokasi terdapat seorang lelaki dalam keadaan terbaring dengan mayatnya yang sudah mereput di dalam rumah.

“Pihak polis menerima laporan sekitar pukul 7 malam daripada jiran mangsa yang mendakwa terhidu bau busuk dari sebuah rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri dan bekerja sebagai pembantu kedai namun tidak dapat dipastikan sudah berapa hari mangsa meninggal dunia.

“Tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca dan tempoh kematian.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai penjual ikan di sebuah pasar dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Mangsa juga dikatakan tidak menjawab panggilan telefon ahli keluarga sejak beberapa hari lalu selain mengadu mengalami demam kepada anak saudaranya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×