MELAKA: Penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon, 67, mendedahkan peristiwa hampir 37 tahun iaitu penyanyi tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad didakwa pernah melamarnya untuk dijadi isteri.
Menurutnya, Penghibur Nombor Satu Asia itu menyatakan hasrat tersebut sejurus dinobatkan menjuarai Juara Lagu 1987 menerusi lagu popularnya Menaruh Harapan ciptaan A. Ali, dan lirik ditulis oleh Habsah Hasan.
“Allahyarham hadir pada malam anugerah tersebut sewaktu berjumpanya dia menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan saya.
“Saya terkejut dan tersenyum serta secara berseloroh cakap kau pendek macam mana nak kahwin,” ujarnya Zaiton mengenang kembali peristiwa hampir 37 tahun itu ketika ditemui di Taman Merdeka di sini semalam.
Zaiton yang turut popular dengan lagu Kabut Serangkai Mawar berkata, dia sudah mengenali Allahyarham Sudirman sejak di bangku sekolah.
Katanya, ketika itu bapanya yang bekerja sebagai anggota polis berpindah ke Temerloh, Pahang dan dia bersekolah di Sekolah Rendah Abu Bakar di Mentakab, Pahang pada 1965.
“Ketika saya dalam darjah satu Allahyarham dalam darjah tiga di sekolah yang sama dan ketika itu kami sangat akrab sebelum saya berpindah ke Kuala Lumpur, kami terputus hubungan,” ujarnya.
Katanya, hubungan antaranya dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Salam Terakhir kembali akrab selepas Allahyarham memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1976.
Jelasnya, apabila dia menjuarai Juara Lagu 1987, Sudirman mula mempelawanya menjadi penyanyi jemputan setiap kali dia mengadakan konsert di seluruh negara.
“Sewaktu saya mendapat rawatan di hospital selepas ditimpa kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali pada 21 Februari 1990, Allahyarham Sudirman sering melawat saya.
“Apa yang saya terkilan sewaktu Sudirman meninggal dunia saya tidak menziarahnya kerana saya masih belum pulih daripada kecederaan akibat kemalangan yang meragut nyawa anak sulung saya dan pemuzik pengiring,” ujarnya. – UTUSAN










