Pesawah terbeban harga baharu beras

Pesawah terbeban harga baharu beras

MOHAMAD Saidin melihat pokok padi yang tidak menjadi kerana kekurangan sumber air di petak sawahnya di Kampung Kuala Segantang Garam, Merbok, Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: Pesawah di negeri ini mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani dengan harga yang lebih tinggi hanya menguntungkan pihak tertentu.

Kata mereka, pesawah masih dibelenggu dengan kenaikan pelbagai kos dan tidak mendapat manfaat langsung daripada pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Majlis Tindakan Kebangsaan mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal itu.

Seorang pesawah, Mohamad Saidin, 60, yang mengusahakan sawah seluas satu hektar di Kampung Kuala Segantang Garam berkata, kenaikan harga kepada RM30 sekampit 10 kilogram (kg) itu mengakibatkan mereka turut perlu berbelanja lebih.

“Walaupun pesawah adalah rantaian utama pengeluaran beras tetapi kami perlu membe­linya dengan harga tinggi berban­ding sebelum ini.

“Sudahlah terbeban dengan kos tinggi untuk menghasilkan padi, malah hendak menggunakannya pun kami terpaksa mengeluarkan belanja besar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi pesawah, Huzaidi Rejab, 38, berkata, kenaikan kos racun, benih, sewa jentera dan pengangkutan sepatutnya perlu diambil kira kerajaan sebelum buat pengumuman berkaitan Beras Putih Malaysia Madani kerana harga kesemua input itu tinggi.

“Apa yang perlu dilakukan ialah menaikkan harga siling padi, memberi lebih banyak subsidi, menurunkan potongan padi di kilang dan menambah baik sistem saliran khususnya kepada pesawah yang mempunyai masalah bekalan air,” jelasnya.

Bagi Mansor Sidek, 63, yang mengerjakan sawah seluas tiga hektar pula berkata, harga siling padi dengan purata RM1,600 yang ditetapkan sekarang masih dianggap rendah dan perlu dinaikkan.

“Apa yang diharap oleh pesawah ialah pemberian pelbagai insentif dan subsidi lain untuk meningkat pengeluaran padi kerana pendapatan kami bergantung sepenuhnya kepada mengerjakan sawah.

“Untuk kawasan di Segantang Garam ini perolehan hasil padi tidak memuaskan kerana mempunyai masalah saliran dan ini yang perlu diberi keutamaan kerana saban hari pendapatan kami terjejas kerana padi tidak menjadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×