Sesi  `medan pergaduhan’ di balai polis - Razarudin - Utusan Malaysia

Sesi  `medan pergaduhan’ di balai polis – Razarudin

Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Razarudin Husain semalam meneruskan siri  mengadakan pertemuan antara  pengadu, mangsa dan pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah.

Razarudin menyifatkan majlis yang  julung kalinya diadakan itu sebagai ‘medan pergaduhan’.

“Ini yang saya buat pertama sekali di Malaysia, saya bagi ‘bergaduh’. Tuan-tuan dan puan-puan, saya juga di sini mahu memberitahu bahawa kita cakna mengambil tahu kepada pengadu yang kesnya yang  belum selesai.

“Saya sudah beritahu Datuk Fizol (Ketua Polis Kedah) dan Ketua Polis Daerah (KPD) di daerah lain (di Kedah) yang ada 11 (KPD) supaya buat benda sama (majlis sama),” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

Video Razarudin mengadakan  lawatan dan majlis berkenaan di muat naik menerusi hantaran TikTok di akaun rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

Menurut Razarudin, IPD Kubang Pasu adalah lokasi yang istimewa baginya kerana ia adalah lokasi pertama beliau ditugaskan dalam pasukan.

“Ini (IPD Kubang Pasukan) adalah ‘soft spot’ kerana dulu-dulu (ia adalah lokasi) masa saya mula bekerja.

IPD lain perlu panggil balik pengadu pada Hari Polis dan raikan sama-sama (Hari Polis).

“Kita tidak pernah lupakan klien kita, kita tidak pernah lupakan pelanggan kita, ini (pengadu) adalah pelanggan PDRM yang terkesan,” katanya.

SLOGAN

Tambahnya, beliau mahu menunjukkan hubungan antara pihak polis dengan masyarakat sama dengan slogan, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Kita nak tunjukkan bahawa polis dan masyarakat berpisah tiada, ini sebenarnya yang saya nak tunjuk.

“Saya bukan kata nak tunjukkan kepada tuan-tuan dan puan-puan saja, saya nak tunjukkan kepada semua pegawai polis yang lain, ini yang patut kamu buat,” katanya.

Terdahulu, Razarudin dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di IPD Kubang Pasu untuk mendengar permasalahan mereka berhubung status laporan polis yang masih dalam tindakan.

“Saya berkesempatan mendengar pelbagai perkara yang mereka (pengadu) bangkitkan berkaitan siasatan sedang dilaksanakan oleh pegawai penyiasat.

“Ini termasuk beberapa ‘cold cases’ (kes lama belum diselesaikan) yang mungkin dianggap tidak lagi menjadi keutamaan dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pegawai penyiasat supaya sentiasa melaksanakan siasatan dengan telus, berhemah, penuh amanah dan sedaya-upaya membantu masyarakat.

“Ia adalah selari dengan slogan yang kita banggakan, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'”, katanya.

Sebelum Razarudin membuat lawatan mengejut di beberapa IPD termasuk IPD Kajang, IPD Nilai dan IPD Ipoh.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×