YANGON: Lebih 1,000 golongan muda berbaris di kedutaan Thailand di Yangon untuk meninggalkan Myanmar selepas junta mengumumkan akan mewajibkan perkhidmatan ketenteraan.
Minggu lalu, junta tentera Myanmar memaklumkan akan menguatkuasakan undang-undang yang membenarkan ia merekrut semua lelaki berumur 18 hingga 35 tahun dan wanita berumur 18 hingga 27 tahun sekurang-kurangnya selama dua tahun.
Pengumuman itu dibuat selepas pihak tentera yang merampas kuasa pada 2021 bergelut dengan serangan hebat kumpulan pemberontak etnik minoriti sejak beberapa bulan lalu.
Menurut wartawan, pejabat kedutaan Thailand di Yangon dibanjiri golongan lelaki dan wanita muda yang cuba mendapatkan visa untuk keluar dari Myanmar sejak pengumuman tersebut Sabtu lalu.
Sejak kelmarin, barisan antara 1,000 hingga 2,000 orang beratur panjang di jalan-jalan berhampiran pejabat berkenaan berbanding kurang daripada 100 orang sebelum pengumuman itu dibuat.
Jurucakap kedutaan Thailand berkata, pihaknya mengeluarkan sekitar 400 tiket nombor giliran sehari untuk menguruskan barisan panjang itu.
Pelajar, Aung Phyo, 20, berkata, dia tiba di kedutaan pada pukul 8 malam Khamis lalu dan tidur di dalam keretanya sebelum mula beratur sekitar tengah malam.
“Kami terpaksa menunggu selama tiga jam sebelum polis membuka pagar keselamatan sekitar pukul 3 pagi dan kami perlu berlari ke hadapan kedutaan untuk merebut tempat mendapatkan nombor giliran.
“Selepas kami mendapatkannya, orang ramai yang tidak berjaya masih beratur di hadapan kedutaan dengan harapan mereka boleh diberikan nombor tambahan,” katanya.
Tiada butiran diberikan tentang bagaimana mereka yang dipanggil oleh junta tentera dijangka berkhidmat tetapi ramai anak muda tidak berminat untuk menunggu dan mengetahui.
“Saya akan pergi ke Bangkok dengan visa pelancong dan berharap untuk tinggal di sana buat sementara waktu.
“Saya belum membuat keputusan untuk bekerja atau belajar. Saya hanya mahu melarikan diri dari negara ini,” tambah Phyo.
Jurucakap Junta, Zaw Min Tun berkata, sistem perkhidmatan tentera diperlukan kerana situasi tegang yang berlaku di negara itu.
Lebih 4,500 orang terbunuh dan lebih 26,000 ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap pembangkang sejak rampasan kuasa pada Februari 2021.-AFP










