RAMAI lulusan universiti masih mencari kerja ketika ini. Yang sudah atau baru bekerja pula, mahu mencari kerja yang gajinya lebih berbaloi atau lumayan berbanding yang ada sekarang.
Mereka punya kelayakan tetapi tiada pengalaman tentunya persaingan amat sengit untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya yang berkaitan dengan kursus yang mereka pelajari.
Jadi, kerjalah mana-mana dulu. Sudah ada pengalaman barulah boleh cari kerja yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran. Itu sudah jadi amalan dari dulu. Yang berpangkat tinggi sekarang, bermula dari bawah. Selalunya begitulah.
Seorang rakan menbebel dalam grup WhatsApp bercerita bagaimana bengangnya dia apabila dia yang menemani anak untuk satu temuduga di sebuah syarikat perkhidmatan baru-baru ini, rasa tertipu kerana anaknya dipanggil tetapi sebenarnya calonnya sudah pun dipilih.
“Anak kata, calon di sebelahlah sudah ‘pecah lubang’ dia akan dipilih kerana ayahnya baik dengan orang yang hendak menemuduga itu. Dia berkata, dia cuma perlu datang, tunjuk resume dan akan mula bekerja pada bulan depan,” katanya.
Macam pernah tengok adegan sebegitu. Watak yang dilakonkan Hasnul Rahmat dalam filem Rock 2005, arahan Allahyarham Mamat Khalid tak silap sayalah.
Tambahnya, mendengar hal itu, beberapa calon lain semuanya baru tamat universiti, rasa macam hendak balik. Tetapi tetap melaluinya dengan rasa tawar hati dan hilang semangat kerana sudah membuang masa di situ.
Masih adakah lagi guna ‘kabel’ untuk mendapatkan pekerjaan? Dulu amalan ini tak silap saya, amat popular di sektor awam. Kalau ibu bapa kerja kerajaan, saudara mara mesti ada yang ‘sangkut’ di situ.
Dunia ini sudah semakin tua, dan kita sudah berada dalam zaman serba moden dengan segalanya bersistem dan sering bercakap tentang integriti. Tak akanlah masih lagi cari kerja dengan guna orang dalam, kroni, kawan bapa, kawan emak dan macam-macam kawan lagi.
Apa perasaan kita kalau yang menemani anak untuk temuduga kerja itu, ibu bapa yang sudah tua yang datang dari ceruk kampung yang mengharapkan anaknya dapat pekerjaan itu? Tidak sia-siakah masa dan perbelanjaan yang dihabiskan untuk temuduga ‘olok-olok’ itu.
Jika jawatan itu disandang oleh orang yang tidak layak hanya kerana dia adalah kroni pada sesiapa di dalam organisasi itu, ini lebih merugikan. Ini kerana mereka tidak menggaji orang yang
selayaknya. Memang ini soal rezeki masing-masing. Tetapi mendapatkan sesuatu pekerjaan itu dengan cara sebegitu, ia bukanlah satu yang patut dibangga-banggakan.
Teringat juga saya, apabila saya berurusan dengan seorang kakitangan bank di Jalan Ampang, sebelum ini.
Lelaki yang berusia 20-an itu dengan ramah memberitahu saya, dia mendapat pekerjaan di situ dengan menggunakan ‘orang dalam’ apabila saya bertanyakan usia dan mudahnya dia mendapat pekerjaan di bank tersebut.
“Memang susah dapat kerja puan. Tetapi saya kerja di sini ada ‘orang dalam’. Kawan kepada ibu bapa saya,” katanya jujur.
Bagi saya dalam persaingan untuk mendapatkan pekerjaan, ia haruslah berjalan dalam suasana sihat. Sihat maksudnya tiada jalan pintas, tiada main taktik kotor dan dijalankan dengan telus.
Ramai yang masih menganggur kini yang layak mengisi jawatan-jawatan yang diperuntukan pula pada anak kawan-kawan atau mana-mana kroni.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran pada November tahun lalu turun kepada 3.3 peratus dan kembali ke paras prapandemik, mencatatkan seramai 569,200 penganggur.
Mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur.
Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.3 peratus merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Sementara itu penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 114,700 orang.
Isu menggunakan segala kabel untuk mencari kerja ini tentunya sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah pengangguran. jadi, betulkah, ada diploma, ada ijazah, pandai berbahasa Mandarin, multilingual, berpengalaman akan kalah teruk dengan hanya selingkar ‘kabel’?
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










