Isu larangan warga asing beli barangan bersubsidi belum dibincang

Isu larangan warga asing beli barangan bersubsidi belum dibincang

FAHMI Fadzil (tengah) ketika ditemui pemberita semasa Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Isu larangan untuk warga asing membeli barangan bersubsidi masih belum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri ketika ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun, isu itu ada dibincangkan luar daripada mesyuarat tersebut.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini, kita belum bincang secara terperinci tentang perkara ini. Ya, ada disebut di luar tapi belum dibawa kepada Jemaah Menteri.

“Dalam sebarang perkiraan, semestinya kerajaan akan meneliti secara keseluruhan agar manfaat program subsidi ini ditujukan kepada kumpulan yang paling memerlukan.

“Jadi, sudah semestinya dalam soal subsidi ini, kita akan utamakan rakyat Malaysia. Namun, waktu ini, Kabinet belum membincangkan perkara ini secara khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di sini, hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, isu berhubung dakwaan beras putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal juga akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu depan.

“Ia akan dibincangkan sebelum sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa langkah kerajaan untuk memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini menimbulkan banyak persoalan kepada para peserta industri.

Persoalan itu timbul susulan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mahupun agensi-agensi berkaitan tidak pernah memanggil pemain-pemain industri untuk berbincang berhubung perkara terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×