Latih orang muda demi survival UMNO

Latih orang muda demi survival UMNO

GENERASI baharu UMNO perlu bersedia memimpin agama bangsa dan negara sebagaimana pemimpin-pemimpin dahulu lakukan demi parti keramat Melayu ini. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO adalah parti tertua dalam negara, memiliki ahli paling ramai dan ditopang oleh struktur paling besar dan kukuh.

Kehilangan UMNO sebagai tonggak kuasa politik negara sejak 2018 mengakibatkan kestabilan negara terjejas dan boleh membuka ruang kepada kelemahan selain memberi kesan kepada kedaulatan negara.

Sebaik kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional (BN), wang Malaysia pernah tidak diterima oleh rakyat Selatan Thailand dan juga di Mekah mahupun Madinah buat beberapa waktu sebagaimana kebiasaan sebelum itu, apabila ekonomi, khususnya eksport tergugat.

Sehingga hari ini, UMNO dan BN masih belum dapat kembali ke persada kuasa sebaliknya hanya sekadar mampu berkongsi kuasa dengan rakan yang lebih kukuh, Pakatan Harapan (PH).

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Demokrasi berparlimen akan kukuh apabila sistem parti politik negara kukuh.

Malah, sejak merdeka hingga kini, UMNO berjaya menjadi benteng yang mengukuhkan demokrasi Malaysia melalui pendekatan-pendekatan yang unik, kebijakan bertolak ansur dan perundingan politik matang.

Malaysia harus terus kukuhkan demokrasi dan sistem yang telah dibina selain sistem kenegaraan unik yang tidak ada samanya di dunia.

Untuk itu, sistem parti politik hendaklah terus dikukuhkan dan sebagai parti terbesar yang berpengaruh dengan memiliki lebih tiga juta ahli, UMNO wajar berterusan menjadi tiang seri politik negara. Usaha untuk mematikan UMNO dan diganti dengan parti lain terbukti menggugat kestabilan negara.

Sungguhpun ada calar, kesan daripada pelbagai ujian luar dan dalam, UMNO hendaklah terus menerus sediakan generasi pelapis yang berwibawa, miliki kebijakan dan matang dalam pertarungan kuasa politik.

Tanpa generasi pelapis yang terdidik dengan ilmu politik, terbina dengan sifat keinsanan dan kemasyarakatan serta diperkukuh dengan ilmu pertarungan di medan kuasa, UMNO payah mengekalkan posisi yang diwarisi oleh tiga generasi.

Pemimpin dan seluruh ahli UMNO harus sedar bahawa politik yang dibawa oleh UMNO pada awalnya berakar pada jiwa rakyat, yang sekian lama dibelenggu oleh kezaliman penjajah melalui polisi yang menekan peribumi, tidak membuka ruang pendidikan dan mengenepikan mereka daripada memiliki ladang komoditi seperti ladang getah, malah membiarkan mereka menjadi penanam padi yang dipasarkan dengan harga murah.

DULANG EMAS
Generasi pertama terbentuk melalui acuan suasana yang dahagakan kemerdekaan demi membela nasib dan membina kehidupan di tanah air sendiri. Pemikiran dan emosi sudah tercerna sejak berpuluh generasi melalui ceritera tumbangnya Melaka di tangan Benggali Puteh pada 1511.

Manakala generasi yang memimpin negara pada hari ini menyambut kuasa daripada dulang emas hasil galian dua generasi lalu iaitu generasi Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Mereka tidak dididik oleh keluh kesah dan sengsara derita rakyat. Mereka membesar dalam rumah berpagar. Tumpuan mereka berbeza, iaitu mengembangkan apa yang ada.

Hari ini, keadaan semakin jelas, kepemimpinan negara akan berpindah tangan ke generasi keempat.

Persoalannya, sejauh mana, generasi keempat ini bersedia memimpin agama bangsa dan negara? Ya, kita tidak hanya fikir tentang negara tetapi terangkum juga agama dan bangsa. Situasi ini unik.

Generasi keempat terlalu jauh daripada sengsara moyang mereka. Malah mereka tidak mahu mendengar cerita ‘zaman bapa kecil dahulu’. Mereka sibuk melayan telefon dan kandungan peranti lain. Mereka berasa mereka banyak tahu, walaupun pada hakikatnya mereka lemas dalam lambakan maklumat tanpa arah.

PIMPINAN MUDA
Melayu ada tugas unik. UMNO mewarisi tugas unik dalam dunia. Payah dikenal pasti wujudnya parti politik lain dalam dunia yang memberi tumpuan sedemikian rupa.

Justeru, kewajipan pemimpin UMNO hari ini untuk membina gagasan muda yang memiliki ciri-ciri perjuangan generasi pertama UMNO semakin mendesak untuk dilaksanakan.

Kegagalan pemimpin UMNO hari ini untuk membentuk gagasan tersebut boleh memanjangkan tempoh kelemahan, malah mempercepatkan kehancuran UMNO.

Hancurnya UMNO bererti akan hancur bersamanya tumpuan kesinambungan pembinaan kekuatan agama bangsa dan tanah air di Tanah Melayu.

UMNO harus hadir dengan program pembinaan kapasiti untuk membina generasi pelapis yang kukuh berperibadi sebagai pemimpin, faham rantaian ekonomi dan politik, menguasai seni serta sains, bijak dalam memimpin, berani membuat keputusan, berhikmah mendepani cabaran, tahu menyusun struktur pemerintahan, mahir menangani harapan selain tuntutan rakyat.

Kesedaran untuk membina ahli UMNO khususnya daripada kalangan ahli muda hadir dalam harapan kepemimpinan UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mengumumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mengenai penubuhan Sekolah Politik UMNO dan juga Institut UMNO, tetapi kedua-dua pengumuman tersebut masih belum menjadi realiti.

Namun, keperluan pembentukan barisan pimpinan pelapis semakin mendesak.

Pembentukan barisan kepemimpinan sebegini tidak boleh dilaksanakan oleh badan atau jawatankuasa yang tidak boleh beri tumpuan khusus. Ia bukan program tempelan yang hadir secara bermusim. Ia menuntut usaha teras secara berinstitusi. Ia adalah tugas sepanjang zaman.

Saya yakin ramai yang sedar tentang keperluan ini, tetapi kerana keterdesakan untuk menjaga apa yang ada, menepis serangan bertalu dan kelompangan kuasa, maka tugas penting ini sering teranjak kepada tarikh yang masih belum ditentukan.

Walau bagaimanapun, saya tetap berpegang kepada prinsip pembinaan kekuatan, ia bermula sewaktu kita tidak memiliki, kerana kita akan mengatur jejak lebih berhati-hati, lebih bertumpukan natijah dan mengelak keborosan.

Saya yakin, Perikatan Nasional (PN) sedang menghitung hari untuk berlabuh di Pahang. Tanpa pemimpin muda dan kekuatan tenaga kerja muda, sukar untuk Kerajaan Perpaduan Pahang, khususnya UMNO, mencari jalan mudah untuk kekal.-UTUSAN

DR. Mohd. Fauzi Shaffie ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×