SAUDARA PENGARANG,
REALITI kehidupan masyarakat Palestin yang terpaksa hidup penuh kesulitan adalah kesan daripada onar penghijrahan kaum Yahudi ke bumi Palestin kerana puak itu ditindas negara Barat yang menjajah di wilayah Eropah Timur.
Pencerobohan Zionis banyak menggugat hubungan sosial empayar Islam termasuk golongan anak kecil yang tidak berdosa. Mereka dibom tanpa belas kasihan. Itu belum lagi ditambah keperluan asas yang terus terjejas, anak-anak ini dibiarkan kelaparan dan menikmati makanan yang tidak sihat.
Kesian anak-anak kecil ini yang majoritinya kehilangan tempat berteduh dan hilangnya kasih sayang daripada keluarga tersayang.
Sesungguhnya, kesan konflik Palestin-Israel ini memberi impak yang kurang baik terhadap kerosakan harta sekali gus menjejaskan sumber ekonomi dan perkhidmatan apabila kemudahan terutama berkaitan kesihatan semakin terhad demi mengawal kadar kesihatan serta keselamatan penduduk.
Alangkah peritnya dugaan mereka yang sejak lahir lagi ada yang terpaksa dihentikan rawatan dan bantuan oksigen kerana kepenggunaan yang terbatas. Banyak bayi pramatang yang tidak dapat diselamatkan kerana bertambahnya kondisi pesakit yang memerlukan rawatan.
Pergolakan penguasaan yang kini meliputi keseluruhan tanah Palestin masih tiada penamatnya. Generasi di sana diselubungi masalah sosial yang tragis asbab tiada pembelaan yang kukuh lebih-lebih lagi terhadap masyarakat yang teraniaya.
Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah mendahulukan agama Islam dan sentiasa berniat untuk sentiasa berada dalam keredaan dan kekuasaan Allah.
Pembelajaran dan hikmah daripada konflik ini ialah mereka di sana memiliki iman yang kukuh walaupun diuji dengan dugaan yang begitu besar dan berat.
Trauma kanak-kanak Palestin amat besar kerana bukan sahaja kehilangan zaman kanak-kanak yang sepatutnya penuh gelak tawa dan senyum, tetapi juga kehilangan ahli keluarga yang menjadi tempat bergantung. Justeru mereka memerlukan tempat berpaut untuk sokongan moral dan mental dari seluruh dunia untuk menempuh tempoh yang sukar ini.-UTUSAN
NUR ZAHIRAH MOHD. FAUZI
Universiti Malaya










