BATC: Taiwan ujian sebenar Malaysia

BATC: Taiwan ujian sebenar Malaysia

AKSI pemain badminton kebangsaan, Lee Zii Jia ketika menentang pemain Kazakhstan, Dmitriy Panarin ketika acara badminton lelaki perseorangan pada Kejohanan Badminton Asia Team Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Fokus skuad lelaki negara kini beralih kepada Taiwan yang dilihat memiliki kekuatan sama rata dengan Malaysia, selepas membenam Kazakhstan 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, semalam.

Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah menundukkan Dmitriy Panarin 21-11, 21-10 untuk menghadiah mata sulung Malaysia melihat peluang skuad kebangsaan agak seimbang berdepan Taiwan, hari ini.

“Secara kasar kita semua tahu siapa pemain yang akan Taiwan letak menentang kita, esok (hari ini).

“Bagi saya di atas kertas peluang kita 50-50 dengan Taiwan, tetapi, selain perseorangan, kita juga ada Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan beregu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Menurut pemain No. 10 dunia itu, dia hampir pasti akan beraksi menentang Lin Chun Yi yang pernah menewaskannya pada Malaysia Masters, tahun lepas.

Jelas Zii Jia, pemain No. 21 dunia itu semakin mempamerkan peningkatan sejak setahun, dua kebelakangan ini.

“Kita dapat lihat kemajuan dia, sudah tentu perlawanan, esok (hari ini), sukar dan kali terakhir kami bertemupun saya kalah, jadi, saya memang tidak sabar untuk bertemu dengan dia,” ujarnya.

Hari ini, pertembungan antara Malaysia dan Taiwan yang merupakan aksi terakhir peringkat kumpulan bakal menentukan juara serta naib juara Kumpulan B.

Walaupun, Malaysia dan Taiwan telahpun mengesahkan tempat ke suku akhir, tetapi pasukan yang muncul juara bakal memiliki kelebihan apabila undian semula dibuat selepas berakhirnya saingan peringkat kumpulan.

Misi wajib menang perlu digalas Zii Jia dengan seorang lagi perseorangan negara, Ng Tze Yong turut memikul tanggungjawab sama bagi mencari mata buat Malaysia bersama-sama Aaron-Wooi Yik.

Sementara itu, dalam aksi bertemu Kazakhstan, Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan kedua tidak berdepan masalah menewaskan Bayken Ibray 21-8, 21-11.

Perseorangan ketiga Malaysia, Eogene Ewe memastikan kemenangan 3-0 ke atas Kazakhstan selepas pemain muda itu mudah melakar kemenangan straight set ke atas Makhsut Tajibullayev 21-7, 21-9.

Dua beregu negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia ke atas Kazakhstan.

Hon Jian-Haikal menumpaskan Ratmir Gilmanov-Ibray 21-10, 21-9, manakala, Sze Fei-Nur Izzuddin mengetepikan Khaitmurat Kulmatov-Tajibullayev 21-6, 21-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×