LIPIS: Keadaan jalan masuk di beberapa tempat ke Pos Sinderut, Ulu Jelai dekat sini bagaikan sawah padi ketika musim hujan sehingga mengundang kesukaran kepada kira-kira 6,000 penduduk di 12 penempatan Orang Asli etnik Semai.
Penduduk berharap kerajaan menaik taraf laluan perhubungan yang lebih selesa bagi memudahkan mereka berulang-alik ke Sungai Koyan dan bandar Kuala Lipis yang mengambil masa antara enam hingga tujuh jam sekiranya hujan dan jalan berlumpur.
Laluan sepanjang 35 kilometer bermula dari Kampung Belau ke Pos Sinderut digenangi air, berlopak serta berlumpur sehingga menyebabkan kenderaan terkandas.
Malahan, keadaan sama berlaku ketika musim panas akibat permukaan yang tidak rata kesan daripada tayar kenderaan dan lubang yang dalam sehingga menyukarkan penduduk menunggang motosikal dan kereta.
Tok Batin Bukit Long, Manzurizal Manang, 40, berkata, sebelum 1970-an, penduduk menggunakan laluan denai hutan berjalan kaki ke bandar Sungai Koyan, kemudiannya laluan balak dan jalan tanah merah, namun sehingga kini keadaannya masih ditakuk lama.
“Keadaan jalan yang tidak selamat ini menyukarkan sebilangan ibu bapa menghantar dan mengambil anak bersekolah dan begitu juga ibu yang hamil ketika berurusan seperti pemeriksaan kesihatan berkala di klinik kerajaan Pos Sinderut.
“Saya pernah menulis surat kepada kerajaan supaya ada usaha membaik pulih atau menaik taraf jalan ke Pos Sinderut sekurang-kurangnya diturap tar bagi kemudahan penduduk berurusan ke bandar dan membawa hasli kampung ke pasar di bandar terdekat,” katanya di Pos Sinderut dekat sini.
Menurut Manzurizal, pihak berkuasa ada memberi jaminan untuk membaik pulih laluan tersebut, tetapi sehingga kini belum direalisasikan dan penduduk terus berdepan masalah perhubungan.
Katanya, penduduk Pos Sinderut berharap ada sinar yang cerah tahun ini kerana mereka sudah 60 tahun sejak dia dan generasi baharu belum lahir lagi menunggu jalan perhubungan yang sempurna ke situ. – UTUSAN










