MARIB, YAMAN: Serangan ketenteraan yang dilakukan terhadap kawasan kawalan pemberontak Houthi di sini menyebabkan lebih dua juta mangsa perang kini menjadi pelarian di negara sendiri.
Namun kesan serangan itu bukan perkara utama bagi pelarian tersebut kerana rata-rata mereka lebih memikirkan tentang kesinambungan kehidupan.
Malah pelarian terlibat menyifatkan rejim Houthi sebagai punca kepada kekacauan di negara berkenaan.
Bagi Ali Muhammad, 40, kehidupannya musnah selepas diserang Houthi dalam serangan yang turut mengorbankan banyak rakan dan saudara maranya.
“Saya tidak kisah tentang serangan Amerika Syarikat tetapi sekarang adalah masa untuk memikirkan tentang kehidupan, kekurangan dan apa yang mahu dimakan keesokannya.
“Tambahan pula kami sendiri pernah diserang Houthi. Jadi apa-apa yang terjadi pun kami pasrah dan segalanya bergantung kepada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis penyerahan 400 pek makanan sumbangan rakyat Malaysia yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Khair di Kem Pelarian As-Salam baru-baru ini.
Ali yang merupakan bapa kepada dua anak itu berasal dari wilayah Dhamar, Yaman terpaksa bergelar pelarian sejak tiga tahun lalu ekoran berlakunya perang.
Dia kini tinggal di khemah kem pelarian tersebut nekad melarikan diri ke Marib bagi mencari perlindungan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Al-Khair, Muhd. Luqmanul Hakim Mohd. Redzuan berkata, bantuan kemanusiaan di Yaman amat diperlukan terutama sumbangan dalam bentuk barangan keperluan asas dan makanan.
“Kem pelarian terbesar di Yaman ada di Marib dan terdapat sebuah penempatan yang bilangannya mencecah lebih 12,000 orang pelarian.
“Justeru bayangkan bagaimana sukarnya untuk tinggal di kawasan terbabit dengan pelbagai kekurangan kemudahan asas terutama air, api, makanan dan pendidikan untuk kanak-kanak,” jelasnya.
Sementara itu, Muhd. Luqmanul Hakim berkata, selain makanan, lebih 200 kit keperluan asas terdiri daripada beras, tepung, gula dan pelbagai barangan lain turut diberikan kepada pelarian di negara berkenaan. – UTUSAN











