KUALA LUMPUR: Identiti tiga pemilik akaun media sosial yang dipercayai mengugut peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid telah dikenal pasti polis.
Ugutan diterima peguam berkenaan susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, terdapat tiga laporan diterima babit kes ini dan tiga kertas siasatan telah dibuka.
Menurutnya, satu daripadanya telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan susulan.
“Pada tahun lalu, Nik Elin buat tiga laporan, kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada dengan (dirujuk kepada) TPR beberapa minggu lalu.
“Dua lagi (laporan) masih dalam siasatan dan kita akan lengkapkannya dalam terdekat dan serahkan kepada TPR,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sabtu lalu, Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya itu sebelum membuat tiga laporan polis.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah pada Jumaat lalu.
Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – UTUSAN










