Pantai Bisikan Bayu tidak lagi indah, dicemari sampah

Pantai Bisikan Bayu tidak lagi indah, dicemari sampah

PEMANDANGAN Pantai Bisikan Bayu Semerak, di sini kelihatan semakin kotor dan tidak terurus selepas dilanda Monson Timur Laut (MTL) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pemandangan Pantai Bisikan Bayu Semerak, di sini kelihatan semakin kotor dan tidak terurus selepas dilanda Monson Timur Laut (MTL) baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sampah sarap yang dibuang oleh pengunjung tidak bertanggungjawab termasuk longgokan kayu hanyut dari laut mencatatkan lagi keindahan lokasi tumpuan pelancong itu.

Seorang pengunjung, Jamaluddin Ismail, 30, berkata, pihak berwajib tidak sepatutnya lepas tangan dan perlu mengambil langkah segera membersihkan segera kawasan tersebut.

“Adalah tidak wajar menjadikan MTL sebagai penyebab utama pantai ini semakin kotor. Tindakan drastik perlu diambil bagi memulihkan semula kawasan tumpuan pelancong ini.

“Pada masa sama, peniaga perlu bersikap cakna dan ringan tulang dengan menjaga kebersihan kawasan perniagaan mereka supaya persekitaran menjadi lebih segar serta menarik,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Farhana Abdullah, 25, memberitahu, kegagalan menjaga kebersihan kawasan ini boleh memberikan imej tidak baik kepada negeri.

Katanya, hal ini kerana 2024 merupakan Tahun Melawat Kelantan dan aspek kebersihan perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Norsham Sulaiman berkata, pihaknya akan mengadakan gotong-royong perdana bagi membersih pantai berkenaan.

“Saya sudah meninjau ke lokasi berkenaan. Banyak longgokan sisa kayu hanyut yang merupakan satu kelaziman selepas berlakunya tengkujuh.

“Saya juga memohon kepada pengunjung membuang sampah ditempat yang sepatutnya selain menyahut kempen kebersihan yang dianjurkan kerajaan negeri,” katanya.

Ujarnya, pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sudah dimaklumkan dan mereka bercadang melantik kontraktor khusus bagi membersihkan pantai itu dalam tempoh yang terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×