PETALING JAYA: Mood Tahun Naga melonjakkan Bursa Malaysia ke paras tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun apabila menokok 19.09 mata atau 1.29 peratus untuk ditutup pada 1,531.27 didorong belian berterusan oleh pelabur asing.
Bursa Malaysia ditutup pada 1,512.28 Jumaat lalu dan ditutup pada Isnin sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina (CNY).
Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 643 kaunter berbanding 297, manakala 429 kaunter tidak berubah dan 927 lagi tidak diniagakan.
KLCI dibuka 0.35 mata lebih tinggi pada 1,512.63, dan bergerak antara 1,512.63 dan 1,533.16 sepanjang hari.
Kali terakhir Bursa Malaysia melepasi paras 1,530 mata ialah pada 27 September 2022 apabila ditutup 1,532.20.
Mengulas prestasi tersebut, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, tumpuan pada mggu ini masih lagi kepada jangkaan pemotongan kadar faedah di AS.
Katanya, data berkenaan inflasi di AS dijangka akan dipantau berikutan jangkaan ia akan terus mencatatkan penurunan bagi Januari.
“Buat masa ini, pasaran saham di AS dilihat begitu positif berikutan prestasi keuntungan syarikat tersenarai pada suku keempat dilihat positif dan indeks S&P 500 terus mencatat paras tertinggi melebihi 5000 mata.
“Justeru, sentimen positif di Wall Street telah memberi suntikan keyakinan bagi bursa Malaysia,” katanya.
Beliau menjangkakan, kaunter berkaitan perbankan mungkin menjadi tumpuan disebabkan kestabilan dalam kadar faedah akan memberi margin yang baik bagi institusi perbankan.
“Selain itu, infrastruktur berkaitan pelabuhan juga menjadi tumpuan disebabkan ada usaha untuk mengembangkan fasiliti sedia di pelabuhan Klang,” katanya.
Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpandangan sama bahawa kaunter sektor-sektor yang akan mendapat perhatian adalah sektor pembuatan, kewangan dan pelancongan.
Beliau turut berpendapat, prestasi turun naik saham semasa perayaan Tahun Baharu Cina, bukan sahaja berlaku di Malaysia, malahan di China.
Selain itu, beliau berkata, para pelabur agak gusar dengan keadaan semasa seperti harga komoditi yang menurun dan permintaan yang berkurang daripada China.
“Imbangan perdagangan yang agak tipis dan juga kadar hutang dibanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agak tinggi,” ujarnya. – UTUSAN










