Kampung Baru sebagai tapak warisan dunia?

Kampung Baru sebagai tapak warisan dunia?

UNTUK mengangkat apa-apa jua tempat dalam konteks sejarah dan budaya sejagat, hendaklah ia memiliki nilai sejarah dan budaya luar biasa dengan tidak sesekali mengesampingkan fakta bahawa negara ini ada ‘tuan’ dan sejarahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT sesetengah pihak untuk mengangkat Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia, bersekali Georgetown dan Melaka yang sudah terpilih bagi Malaysia, hendaklah difikirkan semula semasak-masaknya. Ini kerana tidak seperti dua tempat itu yang memang terserlah nilai sejarah dan budaya sejagatnya yang kosmopolitan lagi inklusif semenjak kewujudan awalnya lagi, Kampung Baru Cina sebaliknya tidak pun memiliki dua nilai itu untuk dinikmati warga dunia.

Untuk sesebuah tempat itu dipertimbang sebagai tapak warisan kategori budaya oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), ia wajib mempunyai sebilangan ciri yang bukan sahaja istimewa sifatnya pada peringkat tempatan, juga yang harus boleh dikongsikan secara sejagat untuk manfaat bersama oleh warga dunia.

Sehubungan ini, ia langsung tiada pada Kampung Baru Cina walaupun berjumlah sekitar 600 buah dengan Kampung Baru Jinjang sebagai yang paling besar.

Dalam mengemukakan hasrat ini, ada baiknya diteliti terlebih dahulu sejarah penubuhannya. Kampung Baru Cina diwujudkan oleh penjajah British semasa negara ini diletakkan bawah Darurat (1948-1960). Tujuan utamanya adalah untuk memutuskan hubungan etnik Cina dengan pengganas komunis.

Ia wujud dalam bentuk pemberian barangan seperti bekalan makanan dan ubat-ubatan, selain sokongan moral. Oleh sebab ini, etnik Cina dipaksa untuk tinggal dalam kawasan yang dipagari rapi dengan pengawalan ketat, untuk British memantau setiap pergerakan mereka.

Dari segi sejarah, Kampung Baru Cina mempunyai reputasi buruk, iaitu sebagai kawasan tahanan etnik Cina yang merupakan tali barut kepada pengganas komunis yang memerangi pemerintah Inggeris. Dengan sikap begini, etnik Cina dilihat sebagai pengkhianat kepada negara.

Itulah sebenarnya nilai sejarah negatif yang ada pada Kampung Baru Cina, iaitu etnik Cina adalah pembelot yang tidak setia.

Adakah kita mahu berkongsi nilai yang begini negatif dengan dunia? Lebih penting lagi sanggupkah etnik Cina sendiri membuka pekung di dada yang kemudiannya boleh mencetus polemik baharu, iaitu tentang kesetiaan mereka yang sering dipersoal pada sepanjang masa.

Biarlah Kampung Baru Cina merupakan sebahagian daripada masa lampau negara sebagai sejarah hitam kita dan juga British.

Sebenarnya Kampung Baru Cina tiada apa-apa jua signifikannya untuk diangkat di negara ini sendiri, apatah lagi di luar Malaysia. Ia hanya satu aib nasional yang memperlihat adanya dalam kalangan rakyat kita sendiri yang tiada kesetiaan kepada negara. Sebaliknya menyokong musuh bagi menumpaskan pemerintah untuk diambil alih oleh pengganas komunis.

Kampung Baru Cina juga tiada nilai budaya yang signifikan untuk ditonjolkan sebagai sumbangan warisan kepada dunia. Ia yang dikaitkan pihak tertentu sebagai memiliki budaya Cina tersendiri sebenarnya hanya mempamerkan budaya Cina lazim yang ikut diamalkan di mana-mana penempatan Cina di Malaysia. Dengan kata lain, Kampung Baru Cina dahulu dan sekarang hanya penempatan Cina yang tipikal, yakni yang lazim sahaja tanpa apa-apa keistimewaan luar biasa pun.

Sesungguhnya untuk UNESCO mempertimbang hasrat ini, mereka perlu memastikan Kampung Baru Cina itu memiliki peristiwa yang boleh diguna pakai sebagai nilai sejagat positif. Dalam hal ini, Kampung Baru Cina bukan sahaja tiadanya, ia hanya merupakan kem tahanan etnik Cina akibat bikinan (karenah) mereka sendiri yang bersubahat dengan musuh negara.

Selain ini, UNESCO juga akan meneliti nilai murni yang boleh disumbangkan oleh Kampung Baru Cina untuk dimanfaatkan warga dunia sebagai perkongsian nilai positif dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Sekali lagi, ia tiada langsung kecuali perbuatan subversif etnik Cina yang memaksakan British untuk membatasi mereka dalam kawasan tahanan demi keselamatan negara.

Dalam hal mahu mengangkat sebilangan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia, pihak berkuasa yang berjanji akan menyokongnya, hendaklah sangat berhati-hati agar tidak sesekali membuat keputusan salah atas semata-mata pertimbangan politik sempit. Ini kerana ia melibatkan imej negara di persada antarabangsa yang sudah pun tercalar akibat beberapa kekhilafan lampau.

Untuk ini, apa-apa jua tempat yang mahu diangkat dalam konteks sejarah dan budaya sejagat, hendaklah berupa yang bukan sahaja betul-betul memiliki nilai sejarah dan budaya luar biasa di dalam negara dahulu untuk kemudiannya dikongsi dengan seluruh dunia. Lebih penting lagi ialah ia harus tidak sesekali mengesampingkan fakta bahawa negara ini ada ‘tuan’ dan sejarahnya.

Hal ini memang terserlah sekali pada Georgetown dan Melaka yang bukan sahaja memilki nilai sejarah dan budaya kepelbagaian yang boleh ikut dibanggai dunia. Juga ia tidak sesekali bersifat kekauman, yakni tentang hanya satu etnisiti dan budaya dalam kepompong sendiri, apatah lagi yang perkauman, iaitu mahu menonjolkan etnisiti dan budaya tertentu sahaja sehingga sanggup mengetepikan keberadaan negara ini dari sisi primordialnya. Inilah yang sebenarnya berlaku pada usul Kampung Baru Cina itu yang terang-terangan adalah eksklusif Cina dari segenap segi.

Carilah entiti lain yang sebenarnya banyak lagi untuk kita terus menambah senarai tapak warisan dunia kategori budaya di Malaysia namun ia haruslah yang bersifat boleh mempengaruhi dunia sebagai bukan sahaja legasi penting dari Malaysia tetapi selaku tradisi lampau Malaysia yang tinggi nilainya. Inilah sepatutnya cara kita menyumbang dalam menambahkan tapak warisan dunia di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×