ALOR GAJAH: Penempatan sementara atau transit kepada dua keluarga terlibat kebakaran di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah di sini, kelmarin menjadi keutamaan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, bantuan lain seperti kelengkapan persekolahan dan buku teks pula akan diusahakan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga sudah dimaklumkan untuk membantu hal-hal berkaitan dokumen pengenalan diri mangsa yang turut hangus terbakar dalam tragedi berkenaan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) diharap dapat menyegerakan bantuan mengikut keperluan mangsa yang turut membabitkan kanak-kanak.
“Mungkin mangsa ini akan ditempatkan di rumah sewa, sementara menunggu bantuan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tindakan pantas seorang kanak-kanak yang mengejutkan bapa saudaranya ketika melihat api mula marak di bahagian dapur rumahnya berjaya menyelamatkan lapan nyawa dalam kebakaran, kira-kira pukul 11.20 pagi.
Semasa tragedi melibatkan dua buah rumah terbabit, anak kecil berusia sembilan tahun itu bergegas memaklumkan kejadian kepada bapa saudaranya yang sedang tidur di ruang tamu.
Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Khusairy Deraman berkata, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Cheng terlibat dalam operasi pemadaman dua buah rumah separuh kekal. – UTUSAN










