PETALING JAYA: AwanBiru Technology Berhad (Awantec),melalui anak syarikat milik penuhnya, Awantec Systems Sdn. Bhd.(ASSB), telah memeterai perjanjian perkhidmatan dengan Redtone Engineering & Network Services Sdn. Bhd. (Redtone) bernilai RM294.3 juta.
Awantec berkata, menurut perjanjian itu, ASSB bertanggungjawab menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan pengkomputeran awan merangkumi produk seperti Google Workspace Enterprise dan Platform Google Cloud.
Ia bagi projek komunikasi bersatu kerajaan dikenali sebagai MyGovUC 3.0.
“Tempoh projek 57.5 bulan bermula dari 14 Februari 2024 hingga 30 November 2028,” katanya dalam kenyataan.
Awantec berkata, MyGovUC 3.0 adalah kesinambungan projek MyGovUC 2.0 yang berjaya meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Menurut makluman, MyGovUC 2.0 adalah Perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu yang diuruskan secara berpusat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Perkhidmatan itu menggabungkan saluran-saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan video/audio, chat dan Sistem Pengurusan Profil Pengguna (UPMS).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata, pelantikan Awantec sebagai rakan kongsi utama untuk Google Cloud di Malaysia menekankan keupayaan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkuat Pelan Transformasi Digital kerajaan.
“Dengan dua dekad pengalaman dalam melaksanakan projek teknologi berskala besar, kami yakin bahawa ini akan meningkatkan pendigitalan dalam sektor awam,” katanya. – UTUSAN










