Tindakan pantas kanak-kanak, selamatkan 8 nyawa

Tindakan pantas kanak-kanak, selamatkan lapan nyawa

DUA buah rumah hangus terbakar dalam kejadian di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, Melaka semalam. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tindakan pantas seorang kanak-kanak yang mengejutkan bapa saudaranya ketika melihat api mula marak di bahagian dapur rumahnya di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah di sini berjaya menyelamatkan lapan nyawa dalam kebakaran, kira-kira pukul 11.20 pagi semalam.

Semasa tragedi melibatkan dua buah rumah terbabit, anak kecil berusia sembilan tahun itu bergegas memaklumkan kejadian kepada bapa saudaranya yang sedang tidur di ruang tamu.

Bapa saudaranya, Muhammad Ridzuan Jasmi, 17, berkata, usai dimaklumkan, dia segera mencapai selimut dan membasahkannya dengan air untuk memadamkan api, namun tidak berjaya.

“Saya cuba gunakan air paip untuk padamkan api di dapur, namun tidak berhasil juga. Kemudian jiran belakang rumah minta saya selamatkan diri dengan memadamkan suis utama elektrik sebelum meninggalkan rumah.

“Api marak terlalu cepat, kalau anak saudara saya tidak kejutkan atau dia lambat bertindak, sudah pasti saya bersama lima lagi anak saudara tidak sempat keluar dari rumah. Ketika kejadian, ibu, bapa dan abang ipar tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun termasuk sebuah motosikal yang hangus terbakar. Syukur kami semua selamat tanpa kecederaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Khusairy Deraman berkata, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Cheng terlibat dalam operasi pemadaman dua buah rumah separuh kekal.

Jelasnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×