Pengundi tentukan masa depan Indonesia pasca Jokowi

Pengundi tentukan masa depan Indonesia pasca Jokowi

BANYAK pihak melihat gandingan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka dijangka akan meneruskan usaha Joko Widodo (Jokowi) selama ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 kali ini sangat luar biasa kerana buat pertama kali, pemilihan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) legislatif dan kepala daerah diadakan serentak. Justeru, Pemilu 2024 selayaknya diangkat sebagai pesta demokrasi bagi kira-kira 204 juta pengundi di Indonesia.

Jumlah ini termasuk rakyat Indonesia yang berada di luar negara. Di Malaysia sahaja, 832,420 orang rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia akan melunaskan tanggungjawab mereka.

Memandangkan Pemilu kali ini sangat besar skopnya, ia memerlukan petugas yang mencukupi dan mempunyai daya tahan menguruskan pelaksanaan pilihan raya. Dalam Pemilu 2019, ada sebilangan petugas yang meninggal dunia kerana faktor usia dan sakit tua. Mulai Pemilu kali ini, had umur petugas yang diperkenalkan ialah 55 tahun dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Had umur mengundi di Indonesia adalah 17 tahun sementara mereka yang dibawah umur 17 tahun dibenarkan mengundi jika sudah berkahwin manakala had umur untuk bertanding bagi jawatan presiden dan wakil presiden pula adalah 40 tahun. Hal ini kerana pada usia tersebut,seseorang itu dianggap sudah matang dalam kepemimpinan.

Semua calon presiden dan wakil berusia melebihi 40 tahun kecuali Gibran Rakabuming Raka yang berusia 37 tahun. Beliau merupakan anak sulung kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi). Pencalonan beliau ke jawatan wakil presiden di samping calon Presiden, Prabowo Subianto menimbulkan banyak kontroversi kerana faktor usia yang muda dan terkait faktor pilih kasih yang mengundang situasi politik dinasti.

Anak Jokowi ini diberikan pengecualian oleh mahkamah kerana pernah berpengalaman sebagai pejabat negara atau kepala daerah. Gibran merupakan Datuk Bandar Surakarta sejak 2021. Meskipun diberikan kelonggaran, ia tidak membebaskan Gibran termasuk Jokowi daripada kritikan rakyat Indonesia. Kritikan utama antaranya datang daripada kelompok ahli akademik di universiti yang mempertikai kepemimpinan Jokowi dan pemilihan anaknya dalam Pemilu.

Mereka mendakwa penyertaan Gibran dilihat akan melanjutkan politik dinasti dalam kanvas politik Indonesia. Ironinya, perkembangan ini sebenarnya berbeza pada awal pelantikan Jokowi sebagai Presiden pada 2014. Kemunculan Jokowi pada ketika itu dilihat memberi harapan baharu kepada politik Indonesia yang sudah lama dibayangi politik dinasti dan nepotisme.

Jokowi merupakan orang biasa (kebanyakan) dan bukan berasal daripada keluarga aristokrat dan pembesar politik mahupun golongan tentera. Latar belakang Jokowi yang unik ini membantu kemenangan beliau pada 2014 apabila rata-rata pengundi mahu Indonesia keluar daripada politik lama yang terkait isu nepotisme dan kronisme.

Sebelum Jokowi, semua presiden merupakan golongan tentera dan kumpulan aristokrat kecuali Abdul Rahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur yang merupakan seorang pemimpin agama yang terkenal. Walau bagaimanapun Gus Dur hanya sebentar memimpin Indonesia selepas diturunkan pada 2001 yang membuka peluang kepada Megawati Soekarnoputri dilantik sebagai Presiden Indonesia yang kelima.

Berdasarkan Undang-undang Dasar 1945 seseorang presiden hanya dibenarkan memegang jawatan selama dua penggal sahaja. Mandat Joko Widodo sebagai Presiden selama 10 tahun bakal berakhir tahun ini. Hal yang sama berlaku ketika Pemilu pada 2014 apabila Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) tidak boleh lagi bertanding kerana sudah cukup dua penggal memegang tampuk pemerintahan.

Sepanjang 10 tahun pentadbiran Jokowi, beliau membawa gagasan Indonesia Maju. Menurut beliau, bagi usaha memacu pemodenan Indonesia harus dimulakan dengan pembangunan fizikal Indonesia. Projek mega seperti pembinaan pembangunan ibu negara baharu Nusantara, pembinaan transit aliran massa atau MRT dan kereta api berkelajuan tinggi dari Jakarta ke Bandung adalah bukti komitmen Jokowi meligatkan arus pembangunan dan pemodenan Indonesia.

Di bawah kepemimpinan Jokowi juga meletakkan Indonesia di peta dunia. Pada November 2022, Indonesia menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa, iaitu Sidang Kemuncak G20 di Bali. Sidang ini bagi membincangkan kerjasama negara anggota bagi memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19. Tidak dinafikan, sidang ini sekali gus mengangkat Jokowi bukan sahaja pemimpin negara tetapi figura antarabangsa yang disegani.

TIGA PENJURU
Pemilu 2024 menawarkan pertandingan tiga penjuru. Ia menampilkan tiga gandingan iaitu, Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming serta Ganjar Pranowo dan Mahfud MD. Pemilu kali ini menyaksikan percubaan kali ketiga oleh Prabowo ke jawatan presiden. Beliau tewas dua kali di tangan Jokowi sebelum ini.

Hubungan politik antara Jokowi dan Prabowo sangat unik dan istimewa. Selepas kemenangan Jokowi, beliau telah melantik Prabowo dalam kabinet sebagai Menteri Pertahanan. Sikap hormat Prabowo kepada Jokowi membantu kerjasama antara kedua-dua pihak kekal baik.

Banyak pihak melihat gandingan Prawobo dan Gibran dijangka akan meneruskan usaha Jokowi selama ini. Hubungan Jokowi yang baik dengan Prabowo dan faktor hubungan anak-bapa (Gibran) menjadikan gandingan nombor dua ini bukan lagi rahsia menjadi pilihan presiden.

Meskipun Jokowi diangkat ke puncak kuasa dengan dukungan Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP), hubungan beliau dengan parti politik ini semakin memburuk sehingga dikritik hebat secara terbuka oleh Megawati. Lebih-lebih lagi, pencalonan anak Jokowi untuk jawatan wakil presiden yang menentang gandingan Ganjar dilihat seperti ‘kacang lupakan kulit’.

Gandingan Anies Baswedan, iaitu bekas Gabenor Jakarta yang didukung oleh parti berlatar belakangkan politik Muslim menjadi harapan kumpulan yang inginkan perubahan daripada kepemimpinan Jokowi.

Beliau mahu membebaskan Indonesia daripada penjajahan bentuk baharu termasuk kebergantungan dan hutang dengan pihak luar. Gandingan Ganjar pula memberi fokus kepada kesejahteraan dan kepedulian rakyat Indonesia malah memilih latar belakang kehidupan beliau sebagai salah satu kempen bagi menonjolkan kepentingan nilai berkehidupan yang luhur dalam pembangunan kapasiti rakyat Indonesia.

Esok adalah hari besar buat seluruh rakyat Indonesia. Selamat memilih kepada mereka bagi sebuah masa depan Indonesia untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang. Masa depan Indonesia pasca Jokowi terletak kepada kebijaksanaan pengundi yang memilih pemimpin mereka dalam Pemilu ini.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd Izani Mohd. Zain ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pemerhati politik Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×