KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim mempersoal tindakan menteri dalam isu pencalonan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Dalam hal ini, jelas Rais, Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak menjelaskan dasar menjadikan tujuh buah kampung baru masyarakat Cina dan adakah ia dilaksanakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
“Ia perlu dipersoalkan dari beberapa sudut undang-undang, sudahkah dibuat penilaian sama ada kampung-kampung ini menemui syarat-syarat di bawah seksyen 67 Akta Warisan? Sudahkah ada penilaian secara saintifik? Penilaian dari segi seni dan budaya? kandungan sejarahnya dan perkara yang tersenarai dalam akta warisan kebangsaan untuk menjadikan ia sebagai alat atau terma-terma warisan kebangsaan?
“Jika ini belum dibuat, tentu sekali ada kerja rumah yang belum lengkap,” katanya ketika ditemu bual menerusi siaran Media Budi, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan, Kor Ming dipetik sebagai berkata, cadangan mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bertujuan mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang berusia 76 tahun.
Sebelum itu, pada Jun tahun lalu, beliau juga telah mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Dalam masa yang sama, Rais turut mempersoal adakah kepentingan masyarakat lain termasuk Melayu dan India juga diambil kira.
“Jadi dengan keghairahan ini, muncul persoalan yang bangkit dari hak bersama kenegaraan, adakah kampung masyarakat India, berhampiran Batu Caves dimasukkan? Adakah kampung Orang Asli tidak disenaraikan sama?
“Kampung seperti Kampung berjuntai, Kampung Kuala Linggi, Kampung Sungai Choh, Kampong Bharu, Kampung Datuk Keramat, Kampung Majide, adakah kampung-kampung ini tidak masuk kira dalam menjadikan tapak warisan UNESCO?
“Terasa oleh kita bahawa kepentingan masyarakat lain tidak ditimbulkan. Saya ingin nasihatkan rakan dalam kementerian, buat kerja rumah lebih teliti dan jangan di gong kan dulu sebelum gong itu dipukul harus kedengaran,” katanya lagi. – UTUSAN










