Lebih 90,000 mengundi di Johor

Lebih 90,000 mengundi di Johor

Sebahagian daripada rakyat Indonesia di Malaysia mengundi pada Pemilihan Umum 2024 dan Pilihan Raya Presiden 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Proses pengundian Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2024 di tempat mengundi Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, di sini, berjalan dengan lancar.

Seawal 7 pagi, pengundi Indonesia sudah mula berbaris menunggu masa untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Ketua Pelaksana Pemilu Luar Negara Johor Bahru, Ardiyanshah Syahrom berkata, perjalanan bagi kaedah Tempat Undi dibahagi kepada empat sesi bagi mengelakkan kesesakan dan keselamatan proses pengundian kali ini.

Tambahnya, KJRI Johor Bahru turut bertanggungjawab mengendalikan pemilihan menerusi peti undi bergerak membabitkan rakyat Indonesia di empat negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka bermula 5 Februari lalu.

“Pemilihan melalui Kotak Suara Keliling (Drop Box) yang dijalankan di komuniti penempatan warga Indonesia termasuk kilang dan ladang di empat negeri itu setakat kelmarin telah mengumpul 55,000 undi.

“Secara keseluruhan terdapat seramai 119,491 pengundi warga Indonesia yang layak di empat negeri ini dan di Johor adalah paling ramai dengan seramai 90,666 orang,” katanya dalam sidang akhbar di KRJI Johor Bahru, di sini, semalam.

Ardiyanshah berkata, semua pihak termasuk majikan syarikat, kilang dan ladang yang melibatkan pekerja Indonesia juga memberikan kerjasama yang baik.

“Kotak Suara Keliling dari tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang juga akan dibawa ke KRJI bagi tujuan pengiraan undi yang dijalankan 14 Februari ini.

“Pengiraan undi akan dilakukan serentak bagi Kotak Suara Keliling dan Tempat Undi bermula 1 petang pada 14 Februari depan dalam tempoh 24 jam, dengan bantuan 1,364 Petugas Kelompok Pelaksana PEMILU luar negeri di 85 bilik pengiraan undi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN