Malaysia perlu lebih ramai pempengaruh berpendidikan

Malaysia perlu lebih ramai pempengaruh berpendidikan

PEMEGANG ijazah dalam bidang kejuruteraan, perubatan, psikologi dan seni juga mampu menjadi pempengaruh yang berjaya. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DATA menunjukkan peningkatan penggunaan TikTok dalam kalangan rakyat Malaysia yang dijangka mencapai 10,643,189 pada 2026.

Tidak menghairankan apabila kajian dari UCSI University Poll Research Centre pada 2023 mendapati 39 peratus daripada 1,000 lepasan SPM berusia 18 hingga 20 tahun tidak merancang untuk menyambung pelajaran, sementara 34 peratus daripada mereka mengharapkan untuk menjadi pempengaruh dan media sosial.

Malaysia beruntung mempunyai pempengaruh berpendidikan tinggi seperti Khairul Aming yang telah membangun pengaruh melalui video masakan. Selain dari berlatar belakang pendidikan tinggi, beliau turut menekankan kepentingan menjadi pempengaruh yang berpendidikan dan ramai yang menganggap beliau sebagai idola.

Oleh itu, Malaysia perlu lebih banyak pempengaruh berpendidikan dalam pelbagai bidang.

Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan unsur video dan filem seharusnya diberikan perhatian untuk mengelakkan pendidikan dan filem daripada dilihat sebagai dua entiti yang berasingan. Ini bukan satu konsep baharu kerana terdapat sekolah yang telah mengintegrasikan filem dalam pendekatan pengajaran sejak 2015.

Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan (SK) Tampulan Telipok Sabah telah memperkenalkan modul filem dalam sistem pendidikan, yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan dan alat bantu pengajaran bagi guru.

Dengan pendekatan ini, pelajar dapat melihat dimensi baharu dalam pembuatan video dan filem, iaitu mengaitkannya dengan subjek yang dipelajari, sekaligus memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu topik.

Modul yang dibangunkan oleh SK Tampulan Telipok juga memiliki potensi untuk memberi dorongan kepada pelajar untuk menjadi pembuat filem yang berkualiti. Oleh itu, tidak menghairankan apabila sekolah ini telah mencapai kejayaan dalam pelbagai pertandingan, termasuk mewakili Malaysia sebagai finalis dalam Festival Filem Kanak-Kanak dan Belia Antarabangsa Busan 2023.

Pentingnya peranan ibu bapa dan guru juga tidak boleh diabaikan dalam membimbing pelajar yang berminat menjadi pempengaruh.

Walaupun ada yang mungkin percaya bahawa pengalaman lebih penting daripada ijazah, pengetahuan dalam bidang seperti pemasaran, perniagaan, dan media massa dapat memberikan nilai tambah kepada pempengaruh dalam membina pengikut.

Pemegang ijazah dalam bidang kejuruteraan, perubatan, psikologi dan seni juga mampu menjadi pempengaruh yang berjaya.

Keinginan pelajar untuk menjadi pempengaruh perlu dihargai sebagai pilihan kerjaya yang sah tetapi pada masa yang sama, penting untuk menyedari bahawa pendidikan yang berkualiti tetaplah penting dalam mengejar kejayaan sebagai seorang pempengaruh. – UTUSAN

MUHAMMAD DANIAL MOHAMED FAROOK
Graduan Fakulti Pendidikan UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×