SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT pelbagai jenis permainan tradisional yang mungkin sudah dilupakan antaranya galah panjang, gasing, batu seremban dan congkak.
Namun, pada masa kini, permainan tradisional tidak lagi menjadi permainan utama bagi generasi kini. Generasi muda, terutamanya kanak-kanak kini kurang terdedah dengan kebudayaan permainan tradisional.
Mereka lebih terdedah dengan permainan yang berasaskan komputer dan digital. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa permainan tradisional semakin kurang dimainkan oleh kanak-kanak pada hari ini.
Sekiranya didedahkan dengan permainan tradisional seawal pendidikan mereka, ini dapat mengurangkan jurang antara permainan tradisional dan moden seterusnya dapat mengekalkan warisan permainan tradisional dari ditelan arus pemodenan.
Kita boleh memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda dengan cara yang lebih menarik dan interaktif dengan bantuan teknologi digital. Aplikasi permainan adalah sangat popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dalam era digital.
Pembangunan aplikasi yang menarik dan mudah dimainkan boleh membantu memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda.
Mungkin permainan tradisional akan menjadi lebih menarik dan interaktif dengan penggunaan teknologi augmented reality (AR). Aplikasi AR membolehkan pemain bermain permainan tradisional dalam persekitaran maya.
Ia dijangka dapat menjana perubahan dan mampu menarik minat generasi baharu untuk lebih dekat dengan permainan tradisional.
Namun, elemen reka bentuk tradisionalnya perlu dikekalkan walaupun diadaptasikan ke aplikasi digital agar keunikan dan ciri tradisi Melayu dapat dikekalkan.
Dengan kemajuan dalam teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), terdapat banyak peluang dan ruang untuk dieksploitasi.
Teknologi dan budaya boleh digabungkan dan digunakan untuk memelihara budaya tempatan, terutamanya permainan tradisional.
Ini wajar dilakukan supaya generasi akan datang mempunyai pemahaman lebih baik tentang ciri-ciri unik budaya yang diwariskan kepada mereka. – UTUSAN
ILINADIA JAMIL
Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM
Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah










