Raja Muda Perlis harap sambutan Tahun Baru Cina terus mekar perpaduan - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis harap sambutan Tahun Baru Cina terus mekar perpaduan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs di Masjid Uthman Affan, Kampung Surau di sini, semalam-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berharap sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini penuh dengan semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus mekar segar di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia ini umumnya dan Perlis secara khususnya.

Ucapan yang sama turut diucapkan oleh anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Demikian dititahkan baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs di Masjid Uthman Affan, Kampung Surau di sini, semalam

Majlis yang dianjurkan oleh MAIPs di masjid-masjid sekitar negeri ini turut bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Di majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan dari MAIPs berjumlah RM700 secara tunai kepada 70 orang dari kalangan anak kariah Kampung Sentua dan 70 orang lagi pula dari kariah Kampung Surau dengan jumlah penuh pada kali ini bernilai RM98,000.

Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari.

Sementara itu, Dr Ismuni memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) akan terus menjalankan program yang selari dengan dasar kerajaan melalui Kertas Putih Kesihatan yang mensasarkan penjagaan kesihatan melalui pemerkasaan saringan kesihatan dan rawatan awal kepada pesakit.

Antaranya termasuklah kerjasama antara JKNPs dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi saringan kesihatan kepada asnaf yang terpilih melalui program Kayuhan MAIPs Peduli pada tahun ini sebagai kesinambungan kepada inisiatif yang dilaksanakan pada sepanjang tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×