KEPUTUSAN Lembaga Pengampunan yang meringankan atau mengurangkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perbincangan awam dengan cuba membuat huraian sehingga timbul persoalan adakah Lembaga Pengampunan boleh membuat keputusan itu.
Pengampunan adalah satu-satunya cara yang boleh membebaskan diri seseorang apabila beliau telah menggunakan sepenuhnya proses keadilan di mahkamah. Dalam frasa when justice comes to an end, mercy comes to play, memberi maksud apabila tamat proses keadilan, maka muncullah proses belas kasihan atau pengampunan.
Dalam konteks undang-undang dan amalan di Malaysia, hanya setelah menggunakan sepenuhnya ruang mengikut pentadbiran keadilan, iaitu mahkamah, seseorang itu berhak untuk membuat permohonan pengampunan (dalam istilah undang-undang, petisyen) kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Perlu saya tegaskan, hal pengampunan ini bukan hal politik kepartian, namun ia melibatkan hak individu dan juga kepentingan awam. Orang biasa, maksudnya, orang yang tidak terkenal, mungkin tidak begitu sukar untuk mendapat pengampunan dan sebenarnya ramai yang mendapat pengampunan dalam pelbagai bentuk.
Dalam tradisi kesultanan Melayu, bahkan berpanjangan sehingga penjajahan atau pentadbiran British, kuasa pengampunan dimiliki oleh raja. Bagi negeri-negeri Melayu Bersekutu, British menjanjikan bahawa kuasa pengampunan akan dikembalikan kepada raja-raja, namun hanya janji kerana kuasa tersebut tidak dikembalikan dan tiada usaha sewajarnya untuk menunaikan hal berkaitan itu.
Perkara ini juga antara faktor rasa tidak puas hati Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja terhadap pentadbiran British dalam Perjanjian Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dilaksanakan pada 1896.
Pada 1956 dan1957, semasa mencadangkan draf Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Perlembagaan (dikenali Suruhanjaya Reid) mencadangkan peruntukan seperti berikut: “The Yang di-Pertuan Besar shall have the exclusive power to grant pardon, reprieves and respites and to remit, suspend or commute any sentence passed by any court, tribunal or authority established by law where the punishment or sentence is for an offence against the federal law”.
Setelah draf Perlembagaan disiapkan, peruntukan berkenaan perihal kuasa pengampunan dimasukkan pada Perkara 42.
Perkara 42 mengandungi peruntukan yang agak panjang. Ia mempunyai 13 Fasal. Antara lain, Perkara 42 menyatakan tentang skop pengampunan, iaitu pengampunan, tunda hukum dan juga lega hukum, keanggotaan Lembaga Pengampunan dan sedikit tentang tata kerja Lembaga Pengampunan.
Peraturan Penjara 2000 adalah undang-undang yang menjelaskan bagaimana permohonan atau petisyen pengampunan boleh dibuat. Peraturan ini digubal berasaskan kepada Akta Penjara. Pada Bahagian 11 Peraturan Penjara 2000, dengan tajuk Petisyen Dan Aduan Peraturan 113 menyatakan, Petisyen
(1) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya, membuat petisyen kepada YDPA atau raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai perkara sabitan atau hukumannya, sekali dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan selepas sabitannya dan petisyen sedemikian yang kedua hendaklah dibenarkan apabila seseorang banduan telah menyempurnakan tiga tahun dari tarikh sabitan dan sesudah itu petisyen sedemikian hendaklah diberikan pada lat tempoh dua tahun, melainkan jika terdapat apa-apa hal keadaan khas yang dianggap oleh pegawai yang menjaga perlu dibawa kepada pengetahuan YDPA atau raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana- mana yang berkenaan.
(2) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya, membuat petisyen kepada YDPA atau raja atau di-Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai apa- apa perkara lain pada bila-bila masa, dengan syarat bahawa tiada petisyen boleh dibenarkan jika jawapan kepada petisyen sebelumnya mengenai perkara yang sama masih belum diterima.
Jelas dalam peraturan ini tentang masa untuk memfailkan petisyen pengampunan. Seseorang yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman boleh memfailkan petisyen pengampunan, pada pertama kali, seberapa segera selepas sabitan.
Maksudnya sebaik sahaja didapati bersalah oleh mahkamah paling tinggi, seseorang itu boleh membuat petisyen pengampunan. Untuk kali kedua, petisyen boleh dibuat setelah menjalani tiga tahun hukuman dari tarikh sabitan. Setelah mendapat keputusan pada petisyen pengampunan yang difailkan (setelah petisyen pengampunan ditolak atau setelah tidak berpuas hati dengan keputusan petisyen), seseorang boleh memfailkan lagi petisyen pengampunan dalam jangka setiap dua tahun, kecuali terdapat keadaan khas yang perlu dibawa kepada pengetahuan YDPA.
Pengampunan, dalam amalan kuasa Lembaga Pengampunan ini terbahagi kepada dua jenis pengampunan. Pertama, pengampunan untuk sabitan dan juga hukuman. Kedua, pengampunan hanya berkaitan hukuman, tidak termasuk pengampunan ke atas sabitan. Bagi jenis pengampunan yang kedua ini, seseorang yang diberikan pengampunan itu tidak dibebaskan daripada sabitan (bersalah). Ia kekal sebagaimana keputusan mahkamah. Maksudnya, dia adalah bersalah, tetapi hukumannya diampuni.
Perlembagaan tidak menyebut perkara pengampunan untuk sabitan atau hukuman. Ia menggunakan istilah ‘pengampunan’ sahaja. Namun begitu, Peraturan 113 Peraturan Penjara 2000 memperkenalkan dua jenis pengampunan ini. Peraturan 113 ini menyatakan “(1) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya, membuat petisyen kepada YDPA……mengenai perkara sabitan atau hukumannya…”. Peraturan ini yang memperincikan istilah umum, iaitu perkataan ‘pengampunan’. Jelas di sini, kuasa pengampunan bukan sekadar melibatkan hukuman, tetapi juga sabitan. Ini dikenali sebagai pengampunan penuh.
Lembaga Pengampunan melaksanakan kuasa pengampunan dengan cara memberi belas ihsan dan YDPA mempunyai kuasa budi bicara sebagai pemerintah yang memiliki kuasa yang serupa dengan semakan kehakiman.
PERKARA 42
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tentang kuasa Lembaga Pengampunan selain daripada memberikan pengampunan kepada sabitan atau pengampunan terhadap hukuman atau kedua-duanya sekali.
Perkara 42(1) ini menyatakan kuasa Lembaga Pengampunan untuk ‘tunda hukum’ dan ‘lega hukum’. Tunda hukum, ringkasnya ialah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah, walau apa jenis hukuman, Lembaga Pengampunan boleh memberikan ihsan untuk melambatkan pelaksanaan hukum. Ia bukan mengampuni hukuman dari segi membatalkan hukuman, tetapi hukuman masih kekal, namun pelaksanaannya dibuat pada satu masa nanti.
Sementara itu ‘lega hukum’ membawa maksud suatu hukum menjadi lega dengan cara diringankan. Walaupun perkataan peringanan hukum (commute) tidak digunakan, lembaga boleh meringankan hukuman dengan memberikan maksud penuh kepada ‘lega hukum’.
Namun begitu perlu diberikan perhatian bahawa undang-undang berkaitan pengampunan di Malaysia berkait rapat dengan kuasa prerogatif atau budi bicara YDPA, oleh itu tidak wajar keputusan pengampunan ini dipersoalkan oleh sesiapa.-UTUSAN
PROFESOR Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










