KUALA LUMPUR : Sebuah bangunan hotel terbiar di Jalan Pasar Baharu, Pudu yang dijadikan sarang pelacuran bagi warga asing digempur Polis Kuala Lumpur malam tadi.
Menerusi Op Noda yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula 6 petang itu, seorang lelaki warga Bangladesh cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu itu.
Tindakan lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun gagal apabila dia ditahan dan bernasib baik dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 263 individu ditahan dalam serbuan Op Noda sempena Op Limau itu.
Kata beliau, mereka ditahan iaitu 229 lelaki dan 34 wanita terdiri daripada warga tempatan serta warga asing dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Myanmar, Indonesia, India, Vietnam, China dan Thailand.
“Bagi tangkapan wanita, seramai 20 orang daripadanya yang ditahan berusia antara 20-an hingga 40-an disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan.
“Selain itu, seorang lelaki juga ditahan kerana tidak memberikan kerjasama ketika serbuan dan menghalang pihak polis menjalankan tugas ,” katanya dalam sidang akbar di lokasi serbuan di sini.
Allaudeen berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap 14 kanak-kanak dalam operasi itu.
“Kebanyakan lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan ini adalah pelanggan kepada pelacur yang tinggal di hotel ini.
“Bagi lelaki warga asing pula, sebahagian mereka (yang ditahan) adalah penghuni, manakala selebihnya adalah pelanggan (pelacur),” jelasnya.
Kata beliau, semua individu yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut termasuk melakukan ujian saringan urin untuk memastikan sama ada mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pelacuran dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Selain itu, ada juga daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi mereka yang positif dadah,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan hotel berkenaan yang terbiar menyebabkannya dijadikan sebagai lokasi aktiviti perlacuran selain disewa kepada warga asing.
Jelas beliau, aktiviti pelacuran dan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) tertumpu di lokasi ini mungkin disebabkan bangunan hotel berkenaan yang sudah lama tidak beroperasi dan dibiarkan kosong.
“Ini membabitkan mobilisasi sosial iaitu apabila orang tempatan keluar (dari sesuatu lokasi), warga asing pula yang masuk.
“Kita sedia maklum bahawa tempat ini adalah lokasi aktiviti pelacuran yang giat dijalankan buat sekian lama.
“Pada hari ini, lokasi ini digempur bagi membersihkan kawasan ini daripada aktiviti pelacuran,” katanya. – UTUSAN










