KANGAR: Seawal pukul lima pagi, orang ramai sudah menunggu dan beratur panjang di luar ibu pejabat Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di sini, semalam bagi membeli borang permohonan tapak bazar Ramadan sempena bulan puasa pertengahan Mac ini.
Difahamkan, mereka beratur sepanjang lebih 100 meter sebelum tiba giliran proses membeli borang bagi bazar Ramadan Persiaran Wawasan bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Sebelum ini, pada 29 dan 30 Januari lalu, borang bagi tapak bazar Ramadan Taman Kemajuan, Kompleks Bazar Jejawi, Dataran Niaga Arau, tapak pasar malam Kuala Perlis dan Jalan Besar Padang Besar telah dijual.
Kadar bagi tapak bazar Ramadan tahun ini ialah RM230 bagi lot biasa untuk jualan makanan dan minuman serta RM260 bagi lot jualan air tebu, kelapa dan buah-buahan.
Kadar harga tapak berkenaan naik RM10 tahun ini berbanding sebelum ini iaitu RM220 bagi lot biasa dan RM250 bagi lot jualan air tebu, kelapa dan buah-buahan.
Setiap peniaga pula hanya boleh memohon maksimum empat tapak bagi satu permohonan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga, Muhamad Syaiful Abdul Ghani, 28, berkata, dia datang pada pukul 7 pagi dengan pada masa itu, orang ramai sudah beratur panjang sehingga lebih 100 meter.
Malah katanya, difahamkan seawal pukul lima pagi orang ramai sudah datang untuk menunggu dan beratur bagi membeli borang berkenaan yang dijual pada harga RM5.
Ujarnya, borang yang siap diisi boleh dihantar sebelum 15 Februari ini dan dia berharap permohonan diluluskan seterusnya dapat berniaga buat kali pertama di bazar ini.
“Difahamkan bazar Persiaran Wawasan itu libatkan 250 lot tapak berniaga. Saya selesai semua proses membeli borang sekitar pukul 11.30 pagi dan pada masa itu, orang ramai masih beratur panjang,” katanya. –UTUSAN










