Pahang pemacu pendidikan tahfiz negara - Wan Rosdy

Pahang pemacu pendidikan tahfiz negara – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang berjaya memacu sistem Pendidikan Tahfiz Al-Quran khusus untuk anak-anak dari negeri ini yang bermula dari peringkat awal persekolahan sehingga ke peringkat diploma.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perintis program Tadika Tahfiz Negeri Pahang yang bermula dengan satu cawangan pada tahun 2018 di Pekan kini mempunyai 21 cawangan di seluruh negeri menjadi pemangkin kejayaan ini.

Menurut beliau, modul pendidikan Tadika Tahfiz Negeri Pahang  digunapakai di 100 Tabika Kemas di negeri ini malah  digunakan di 4,000 Tabika Kemas seluruh Malaysia.

“Usaha memperkembangkan institusi tahfiz diteruskan dengan  menubuhkan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang di Tanjung Lumpur, Kuantan.

“Sehingga kini kita mempunyai seramai 267 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 3 yang sedang mengikuti pembelajaran,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Maahad Tahfiz Negeri Pahang Cawangan Lipis di Kampung Bapong, Lipis hari ini.

Wan Rosdy menambah, Pahang juga mempunyai Maahad Tahfiz  yang menawarkan pendidikan sekolah menengah dan juga peringkat diploma.

Tambah beliau, Maahad Tahfiz Negeri Pahang berjaya mengekalkan kedudukan sekolah terbaik di Negeri Pahang untuk 10 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kedudukan ke-4 terbaik di peringkat kebangsaan.

“Kita menubuhkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang tahun 2020 hasil kerjasama antara Yayasan Pahang dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

“Maahad Tahfiz ini merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menawarkan pendidikan Turath, Tahfiz dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM),” katanya.

Menurut Wan Rosdy, Program Diploma Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang juga berjaya mengekalkan pencapaian Maahad Tahfiz terbaik di peringkat Kebangsaan untuk 15 tahun berturut-turut.

Tambah beliau, Pahang turut berbangga kerana mempunyai Program Tahfiz Mahir yang memfokuskan golongan belia tahfiz dari institusi atau madrasah di seluruh Pahang.

 “Program latihan kemahiran jangka pendek iaitu 3 bulan termasuk ‘on job training (OJT)’ dengan jaminan pekerjaan selepas tamat latihan.

“Kursus atau bidang yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa adalah seperti penyediaan makanan (breakfast production), fasiliti pengurusan, penghasilan kabinet  dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×