KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat mengemukakan sekali lagi petisyen pengampunan penuh kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya berhak mendapat pengampunan penuh kerana Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil selama ini di samping mendakwa tidak jelas sama ada proses Lembaga Pengampunan berlangsung seperti biasa atau sebaliknya meskipun menegaskan keputusan pengampunan adalah hak prerogatif Agong.
Namun kata Muhammad Shafee, pihaknya mengemukakan petisyen pengampunan pada masa yang sesuai di samping menunggu arahan lanjut daripada anak guamnya.
“Akibat daripada hal-hal yang tidak memuaskan ini, kami sedang melihat kemungkinan mengemukakan satu lagi permohonan untuk pengampunan penuh diraja (pengampunan pembebasan).
“Tiada deadline (tempoh), tunggu masa sesuai, kita akan kemuka pengampunan penuh,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib yang diberikan pengurangan bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ekoran keputusan itu denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sehubungan itu, Mohd. Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos 2022.
Sementara itu, Muhammad Shafee membidas kritikan beberapa pihak termasuk Majlis Peguam dan G25 terhadap keputusan lembaga pengampunan dengan menegaskan undang-undang jelas mengatakan kuasa tersebut merupakan peranan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
“(Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah) Cheah berkata, tidak, (Agong) mesti mendengar semua keempat-empat (ahli tidak tetap Lembaga Pengampunan). Beliau sepatutnya kembali belajar undang-undang kerana tidak memahami undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
“Jawapan mudah kami ialah asas permohonan kami untuk pengampunan tidak berpaksikan pada mana-mana fakta pengakuan bersalah. Mereka bersandar pada fakta bahawa dia tidak bersalah kerana tidak pernah diberi perbicaraan dan rayuan yang adil terutamanya di Mahkamah Persekutuan,” jelasnya. – UTUSAN










