Keluarga Hafiz hairan pelaku tidak direman

Keluarga Hafiz hairan pelaku tidak direman

JAMALIAH Zin (tengah), ibu Mohd. Hafiz Salleh bersama dua lagi anaknya Sarimah (kanan) dan Salwana menunjukkan salinan laporan polis dan gambar mangsa yang didakwa maut dipukul polis di rumah mereka di Kampung Belibis, Ewa, Langkawi. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Keluarga Allahyarham Mohd. Hafiz Salleh, 31, yang mati selepas ditahan polis pada 1 Februari lalu masih belum mampu menarik nafas lega meskipun ada jaminan kes terbabit akan disiasat secara telus.

Adiknya, Salwana, 26, berkata, mereka masih pelik kerana sehingga kini tiada tindakan dibuat terhadap pegawai dan anggota yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.

“Mereka yang terlibat dalam kes itu dikatakan masih lagi bekerja seperti biasa, sedangkan kebiasaannya dalam kes-kes sebegini pelaku akan ditahan reman,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya tidak akan berselindung di sebalik siasatan kes berkenaan yang kini menjurus kepada Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan.

Polis setakat ini sudah mengambil keterangan daripada enam pegawai dan anggota terlibat termasuk tujuh orang awam yang merupakan saksi kejadian.

Sementara itu, Salwana berkata, mereka sekeluarga juga kecewa dengan kelewatan pihak polis memberi maklum balas berhubung kes tersebut.

Ujarnya, terdapat ramai saksi yang melihat kejadian tersebut dan video berkaitan juga telah tular hampir seminggu sebelum pihak polis mengeluarkan kenyataan semalam.

“Kami sudah kering air mata dan kami berharap pihak polis dapat melakukan siasatan yang telus. Kami juga tidak akan lena tidur sehingga pelaku dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman sewajarnya.

“Malah, ibu saya masih lagi bersedih dan kami adik-beradik kini bergilir-gilir untuk tinggal bersamanya bagi mengelak daripada dia duduk berseorangan dan memikirkan perkara ini sehingga menjejaskan kesihatannya,” katanya.

Mohd. Hafiz meninggal dunia Khamis lalu ketika menerima rawatan selepas didakwa diserang sekumpulan anggota polis yang melakukan operasi berkaitan dadah di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×