SEREMBAN: Jabatan Penjara Malaysia berjaya mengurangkan sebanyak satu peratus kadar residivis atau jenayah berulang oleh bekas banduan di seluruh negara iaitu pada kadar 17.06 peratus pada tahun lalu berbanding 18.06 peratus pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pencapaian terbaik bagi pengurangan residivis adalah dalam kalangan mereka yang melalui program dalam komuniti iaitu 0.28 peratus.
Menurut beliau, ia sekali gus menjadi bukti program community correction seperti Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) amat berkesan dalam membantu proses reintegrasi.
Katanya lagi, kadar pengurangan sebanyak satu peratus berkenaan jika ditukar kepada angka sebenar, memberi indikator bahawa sejumlah 3,600 pesalah telah berjaya ditempatkan semula ke dalam masyarakat.
“la juga menunjukkan pencapaian ini membolehkan sekurang-kurangnya 10,800 ahli masyarakat mendapat kelegaan hasil daripada kepulihan ahli keluarga mereka yang pernah melakukan kesalahan.
“Selain itu juga, pencapaian ini turut memberi kelegaan kepada kita yang juga merupakan ahli masyarakat daripada menjadi mangsa jenayah atau future victim,” katanya pada Majlis Perasmian Program PBSL dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara Negeri Sembilan di Penjara Seremban, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad.
Ujar Shamsul Anuar lagi, secara keseluruhannya pada tahun lalu sahaja sejumlah 15,138 pesalah telah diluluskan oleh jawatankuasa untuk mengikuti program PBSL.
Menurutnya, walaupun jumlah dan angka berkenaan dilihat kecil jika dibandingkan dengan jumlah populasi pesalah, namun secara tidak langsung ia memberi impak kepada pengurangan kadar residivis dalam kalangan pesalah.
Dalam pada itu, menurut beliau, seramai 44 orang bebas berlesen (OBB) diraikan hari ini manakala keseluruhan peserta yang dibebaskan menjalani program OBB di seluruh negara adalah seramai 1,092 orang.
Beliau juga berharap agar OBB dapat kembali semula ke pangkuan ahli keluarga dan masyarakat dengan memulakan episod baharu dalam kehidupan.-UTUSAN.










