Dua lelaki ditahan berkaitan kes simbah cat 

Dua lelaki ditahan berkaitan kes simbah cat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian simbah cat terhadap tiga kenderaan di Taman Selaseh, Batu Caves pada 25 Januari lalu.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintenden Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kedua-dua individu berusia 23 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur kelmarin hasil risikan dijalankan.

“Dalam serbuan berkenaan, polis merampas dua telefon pintar komputer riba, sebungkus plastik lut sinar, empat keping nota ugutan, dua tin cat merah, empat botol kosong minyak masak dan tiga topi keledar serta sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek itu positif dadah jenis methephatemine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abang Kaderi, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah curi dan juga penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, media melaporkan sebanyak tiga buah kenderaan serta dua pagar rumah dilaporkan disimbah cat merah.

Difahamkan, perbuatan itu dilakukan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long selepas gagal menuntut hutang dari jiran mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×