KUANTAN: Isu turapan tidak rata, bergelombang, permukaan jalan teruk di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan 2 seperti tidak mendapat perhatian pihak berwajib walaupun kerap kali disuarakan permasalahan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, keadaan jalan di lebuh raya itu seperti tidak diselenggara dengan baik sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Jalan raya yang dipenuhi takungan air semasa hujan memberi kesan yang sangat besar dan berbahaya seperti kemalangan sehingga kehilangan nyawa dan harta benda pengguna.
“Seperti sedia maklum, baru-baru ini ketika musim tengkujuh, berlaku beberapa kes kemalangan di sepanjang LPT terutama melibatkan takungan air atas jalan,” dakwanya di sini semalam.
Firdaus berkata, pihak konsesi LPT perlu mengambil tanggungjawab segera membaiki kerosakan jalan terutama di lokasi yang berlaku takungan air.
Jelasnya, apabila berlaku kemalangan akibat terlanggar lopak air, ia bukan kecuaian pemandu sebaliknya disebabkan hilang kawalan.
“YPNM berharap jangan ada pihak-pihak yang menyalahkan pemandu kenderaan, ia boleh berlaku walaupun kenderaan dipandu 60, 70, dan 80 kilometer sejam.
“Apabila kenderaan dipandu, pemandu tidak mengetahui tingginya takungan air di atas lebuhraya dan ketinggian takungan satu atau dua sentimeter tidak akan memberi kesan dan pemandu merasa yakin dengan kelajuan dibawa.
“Malangnya jika ketinggian takungan air mencecah lebih empat sentimeter dan sehingga 10 sentimeter, sudah tentu sesebuah kenderaan itu tidak akan dapat dikawal dan akan meluncur serta hilang kawalan,” katanya.
Beliau berkata, YPNM mendesak Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat konsesi LPT kerana tidak menitikberatkan soal penyelenggaraan jalan di lebuh raya terbabit.
“Kita juga mendesak konsesi lebuh raya memikul tanggungjawab dan memberikan pampasan setimpal kepada mangsa-mangsa ataupun waris yang terlibat kemalangan di sepanjang LPT.
“YPNM juga meminta jangan ada pihak-pihak yang hanya menyalahkan pengguna lebuh raya,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta pihak konsesi LPT 1 dari Plaza Tol Gambang ke Plaza Tol Kuantan membuat kiraan berapa buah kenderaan terlibat kemalangan akibat takungan air pada musim tengkujuh lalu.
“Seperti sedia maklum, tempat ini sentiasa mengalami kemalangan berturut-turut setiap kali musim tengkujuh,” dakwanya.
Beliau berkata, isu turapan tidak rata, bergelombang, permukaan jalan teruk di LPT boleh diatasi jika pihak berwajib mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah tersebut. – UTUSAN










