Musa alami ketakutan melampau - Mizz Nina

Musa alami ketakutan melampau – Mizz Nina

MIZZ Nina atau Shazrina Azman ketika ditemui pemberita di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Aktivis dan bekas penyanyi, Mizz Nina mendakwa anak angkatnya, Musa masih berdepan trauma dan ketakutan melampau ketika dan selepas berada dalam jagaan bapa angkatnya yang juga vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.

Kata Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44, perubahan sikap anak angkatnya itu masih pada tahap membimbangkan dan perlu dirawat agar tidak berpanjangan serta menjadi teruk.

“Dia trauma dan mengalami ketakutan melampau sehingga membuatkannya menangis dan enggan berjauhan dari saya. Perubahan sikap ini berlaku selepas saya berjaya mendapatkan dia kembali.

“Rutin pemakanan dan tidurnya juga berubah selain menjadi takut untuk keluar rumah. Bayangkan, lebih tiga minggu dia dilarikan, di bawa ke persekitaran yang asing baginya.

“Selain itu dia mengalami cirit birit dan muntah-muntah. Keadaannya tidak terus ketika dia dipulangkan kepada kami, kukunya panjang dan kotor. Jadi saya dan suami sedang berusaha untuk memastikan dia kembali okey dengan membawanya berjumpa doktor dan pakar psikologi,” ujarnya ketika hadir bagi prosiding sulh di Mahkamah Syariah Shah Alam, di sini semalam.

Mizz Nina selepas prosiding tersebut mengesahkan telah menarik balik tuntutan penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara Musa yang difailkannya ketika anak angkatnya itu dilarikan baru-baru ini.

Sebelum ini, dia mendakwa Noh pada 19 Disember lepas telah membawa keluar Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya sebagai penjaga sah kanak-kanak berkenaan.

Ujar Mizz Nina, perkara itu berlaku ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

Dia menyifatkan tindakan bekas suaminya itu sebagai satu pengkhianatan yang mengguris emosinya selaku ibu susuan Musa.

Mizz Nina kemudian mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan Musa kembali ke pangkuannya.

Susulan itu, Noh dalam kenyataan sebelum ini menegaskan dakwaan dia menculik kanak-kanak berkenaan adalah fitnah kerana telah mendapat kebenaran ibu kandung untuk menjaga Musa.

Noh, 39, juga telah melunaskan tuntutan ibu kandung Musa, Athira dengan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara itu.

Pada masa yang sama, Noh menerusi Instagram (IG), bersetuju melunaskan beberapa tuntutan lain termasuk menarik semula kenyataannya sebelum ini selain memadam gambar Musa di media sosial.

Dalam pada itu, Noh yang ditemui selepas prosiding tersebut menafikan Musa mengalami trauma ketika dalam jagaannya.

Malah katanya, kanak-kanak itu menjalani kehidupan paling bahagia semasa lebih tiga minggu bersamanya.

“Selama tiga minggu dengan saya, bangun tidurnya dengan saya. Dia sangat gembira. Saya tak pernah lihat dia sebegitu gembira.

“Mana trauma yang dikatakan itu? Saya ada bukti (video) yang dia gembira dengan saya. Memang dia trauma, sebab pihak sebelah sana selalu tinggalkan dia, pergi Amerika Syarikat (AS) dan sebagainya.

“Jadi Musa trauma ketika bawah jaga dia. Anda semua kena faham perkara itu,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×