KOTA BHARU: Jumlah ketua isi rumah (KIR) di bawah kategori miskin tegar di Kelantan meningkat sebanyak 5,000 orang daripada 9,000 kepada 14,000.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PPNK ICU JPM) Jasri Kasim berkata, pertambahan itu disebabkan peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 31 Januari lalu.
“Jumlah peningkatan ini menjadi satu cabaran buat kami dalam usaha memastikan kejayaan menoktahkan miskin tegar di negeri ini.
“Pada masa sama, bilangan KIR di bawah kategori miskin di negeri ini meningkat sebanyak 10,000 daripada 68,000 kepada 78,346,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Media Bersama PPNK ICU JPM di sini malam tadi.
Jasri memberitahu, pada masa sama pihaknya telah membentangkan Kertas Strategik Menoktahkan Miskin Tegar di Kelantan Tahun 2024 pada Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Negeri Kelantan.
Katanya, kertas strategik tersebut menggariskan empat strategi utama yang akan melibatkan semua agensi pemberi bantuan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.
“Kita ada senarai mereka yang dikategorikan sebagai miskin tegar di negeri ini dan akan mengambil pendekatan untuk bertemu secara bersemuka dengan setiap individu berkenaan.
“Kita akan berikan perhatian kepada perkara-perkara yang mereka perlukan untuk mencapai pendapatan yang akan membawa mereka keluar dari garis kemiskinan,” ujarnya.-UTUSAN











