Kerajaan sasar 70 peratus warga kota guna pengangkutan awam

Kerajaan sasar 70 peratus warga kota guna pengangkutan awam

DR. ZALIHA Mustafa bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Bas Mini EV GOKL dan laluan baharu GOKL, Kuala Lumpur , hari ini.- Facebook/Dr Zaliha Mustafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan menyasarkan sebanyak 70 peratus warga kota menggunakan pengangkutan awam seperti mana yang ditetapkan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan menyasarkan 30 peratus warga kota menggunakan kenderaan persendirian dan selebihnya menggunakan pengangkutan awam.

Kata beliau, sasaran tersebut bagi mencapai hasrat kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mesra untuk semua pihak.

“Kerajaan akan terus mengambil inisiatif dengan merancang dari semasa ke semasa bagi meluaskan lagi laluan perkhidmatan Bas GOKL dengan mewujudkan laluan tambahan untuk menghubungkan tempat tinggal di sekitar Kuala Lumpur dengan stesen sistem transit.

“Malah, menggalakkan pertukaran mod pengangkutan untuk perjalanan pergi dan balik pejabat daripada mod kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang itu merasmikan Bas Mini EV GOKL dan laluan baharu GOKL yang ke-15 iaitu laluan Alam Damai ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) sebentar tadi di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bandar Tun Razak.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, kerajaan turut menyasarkan sebanyak lapan daripada 10 jumlah isi rumah di Kuala Lumpur mempunyai akses dalam lingkungan 10 minit ke mana-mana stesen transit berdekatan menjelang tahun 2040.

“Sebagai usaha Kerajaan menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), laluan Alam Damai-HCTM ini juga akan menggunakan bas elektrik sebagai mod pengangkutan yang lebih mesra alam sekitar dan akan membawa gaya hidup yang lebih sihat.

“Dengan penambahan laluan baharu ini, jumlah keseluruhan bas elektrik GOKL adalah sebanyak 80 buah bas, sekaligus menjadikan DBKL sebagai pihak yang paling banyak mengguna pakai bas elektrik di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut dilihat dapat sedikit sebanyak mengurangkan intensiti pelepasan karbon di ibu negara sehingga 70 peratus menjelang tahun 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×