Sultan Selangor gesa MBDK, ahli majlis atasi masalah banjir - Utusan Malaysia

Sultan Selangor gesa MBDK, ahli majlis atasi masalah banjir

Banjir MBDK
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta ahli majlisnya memikirkan cara untuk mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di daerah itu.

Menurut baginda, banjir kerap berlaku terutama pada musim tengkujuh apabila berlaku limpahan air dari hulu Sungai Klang dan air laut pasang di hilir menyebabkan ia terperangkap dan menenggelamkan kawasan rendah sekitarnya.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, masalah banjir sering berlaku di Kiang terutama pada setiap musim tengkujuh. Situasi ini terjadi adalah disebabkan daerah Klang terletak di sepanjang laluan Sungai Klang daripada hulu ke hilir sebelum air sungai ini menuju ke laut. 

“Sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti pula dengan hujan yang lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daripada daerah Klang dan akan menjejaskan kehidupan penduduk yang terlibat.

“Oleh yang demikian, Beta mengharapkan Datuk Bandar dan Ahli-ahli MBDK mengambil serius tentang masalah ini dengan memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya,” titahnya selepas mengisytiharkan Klang sebagai bandar raya diraja, hari ini.

Selain itu banjir, Sultan Sharafuddin turut bertitah supaya MBDK mempertingkatkan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat demi memastikan warga bandar itu hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat untuk dihuni.

“Perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan kerana apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandaraya sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik.

“Beta mahu pengiktirafan status bandaraya ini menjadi dorongan kepada pihak berkuasa menyediakan perkhidmatan yang lebih efisyen, kemudahan prasarana dan utiliti awam yang lebih baik serta menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti dan bertaraf antarabangsa demi kesejahteraan rakyat di Kiang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Sultan Selangor menyarankan agar ahli-ahli majlis MBDK bukan sahaja dianggotai oleh ahli politik, sebaliknya golongan profesional dalam bidang-bidang yang diperlukan untuk pembangunan sesebuah bandar.

“Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis. Di samping itu mereka juga perlu menggambarkan populasi sesuatu kaum yang menetap di Klang agar semuannya dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan.

“Di samping itu, beta suka mengingatkan kepada ahli majlis MBDK, Datuk Bandar dan juga kakitangannya agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti. Jauhilah dari segala perobuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu. 

“Tuan-tuan semua kena turun ke padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Amalkaniah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak,” titahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×