Lebih banyak kes penyelamatan berbanding padam kebakaran

Lebih banyak kes penyelamatan berbanding padam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berdepan lebih banyak kes penyelamatan berbanding kebakaran sepanjang tahun lalu.

Pengarah JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, berdasarkan statistik jumlah kes penyelamatan itu, 80 peratus daripadanya adalah melibatkan kemalangan jalan raya.

“Di Negeri Sembilan, berdasarkan statistik, kes penyelamatan itu lebih tinggi berbanding kebakaran, daripada segi penyelamatan itu, 80 peratus adalah kemalangan jalan raya.

“Sebab itu, kami terutama­nya pada cuti musim perayaan akan lebih berwaspada dan sentiasa bersedia di dalam kawasan hotspot kes kemalangan yang tinggi termasuk di lebuh raya, memang di Negeri Sembilan kes kemalangan tinggi berbanding di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Op Tahun Baharu Cina 2024 di sini semalam.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa.

Menurut Abdul Khair, sepanjang tahun lalu, pihaknya terlibat dalam 4,312 kes penyelamatan dan khidmat kemanusiaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 348 kes melibatkan kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Abdul Khair berkata, sebanyak 22 peratus bangunan di negeri ini masih tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC) yang berkuat kuasa.

“Setakat ini sudah capai 78 peratus FC yang berkuat kuasa, ada lebih kurang 22 bangunan yang belum dapat FC, 22 peratus ini juga ada ada dalam tindakan mahkamah dan tindakan pematuhan notis yang kami keluarkan.

“Sekiranya notis pematuhan itu tidak dipatuhi memang tindakan mahkamah yang akan kami ambil, memang kami tidak bertolak ansur.

“Pemilik bangunan ini telah membuat perubahan pada pelan asal yang telah diluluskan, apabila mereka buat binaan tambahan dan ubah suai, mereka tidak merujuk kembali kepada kami dan ini meningkatkan risiko berlakunya bahaya kebakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×