Imigresen kutip RM5.56b

Imigresen kutip RM5.56 bilion tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengutip RM5.56 bilion tahun lalu de­ngan caj levi pekerja asing menjadi penyumbang terbesar iaitu melebihi RM3 bilion.

Kutipan tersebut lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya RM5.13 bilion selain melepasi sasaran iaitu RM4.5 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kutipan terbesar disumbangkan menerusi urusan levi sebanyak RM3.31 bilion susulan kemasukan lebih dua juta pekerja asing pada tahun lalu.

“Selain itu, kutipan fi proses perkhidmatan JIM adalah sebanyak RM654.6 juta menjadikannya sebagai penyumbang kedua tertinggi untuk hasil negara.

“Urusan pembaharuan pasport pula merekodkan kutipan sebanyak RM522.1 juta, permit kerja untuk pekerja asing seba­nyak RM379.9 juta dan visa pula sebanyak RM228.5 juta,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

 

 

RUSLIN JUSOH

Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata, sebanyak 2.38 juta pekerja asing berdaftar direkodkan dari awal tahun sehingga 31 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, kumpulan pekerja asing tersebut berdaftar di lima sektor utama dalam perkila­ngan, pembinaan, per­khidmatan, perladangan dan pertanian.

Katanya, kerajaan mempunyai unjuran jumlah pekerja asing di Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi dan negara memerlukan sebanyak 2.4 juta pekerja asing menjelang 2025 yang mana ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Sehingga ke hari ini, jumlah pekerja asing yang paling ramai direkodkan ialah dari Bangladesh iaitu sebanyak 739,406 orang atau mewakili 36.28 peratus daripada keseluruhan pekerja asing yang berdaftar.

“Ia diikuti Indonesia iaitu sebanyak 480,047 orang mewakili 23. 55 peratus; Nepal (358,895 orang atau mewakili 17. 61 peratus); Myanmar (156,990 orang mewakili 7.70 peratus ) dan India (116 175 orang mewakili 5.7 peratus),” katanya.

Beliau berkata, dengan unjuran keperluan pekerja asing sebanyak 2.4 juta pada 2025, kerajaan kini merangka langkah tertentu menerusi perbinca­ngan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Katanya, antara perkara utama dibincangkan adalah mengurangkan tempoh proses dokumentasi panjang yang berlaku selama ini disebabkan perkara tertentu.

“Kalau dulu proses dari awal (sebaik sahaja diberi kuota) sehinggalah diberi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), ia mengambil masa 29 bulan 13 hari. Memang lama.

“Justeru kerajaan bersetuju mengurangkan kepada 15 bulan dan tujuh hari iaitu pengurangan sebanyak 46 peratus daripada tempoh asal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN