MELAKA: Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) meminta kerajaan mengkaji semula keputusan, susulan pengumuman penjawat awam baharu berstatus tetap tetapi tidak lagi berpencen.
Presiden GAKUM, Zulkifli Mohammed berkata, kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara antara 30 hingga 40 tahun.
Menurutnya, skim berkenaan satu-satunya yang memberi kebaikan kepada penjawat awam bagi menjamin keselesaan hidup apabila bersara kelak.
Beliau berkata, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik disebabkan skim gaji masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini.
“Semalam mesyuarat tergempar GAKUM membuat keputusan untuk membantah tentang pemansuhan pencen ini. Kita tidak bersetuju kerana ini satu-satunya yang ada.
“Apa lagi yang ada kalau ini juga sudah tidak ada kepada penjawat awam yang sudah bertugas lebih lama kerana keistimewaan yang telah diberikan oleh kerajaan sejak dulu lagi.
“Justeru, GAKUM minta kerajaan mengkaji semula jika benar keputusan yang akan diambil untuk memansuhkan skim pencen penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pengurusan Kesatuan Sekerja 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.
Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi KWSP.
Sementara itu, Presiden Pesara Penjawat Awam (KUPEKMAS), Datuk Omar Osman berkata, pelbagai pihak tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan ingin memansuhkan skim tersebut.
“Saya harap kerajaan berunding dengan pemimpin sekerja, kita ingin beri pandangan kerana hari ini ada penjawat awam berpencen tetapi tidak berpencen seperti penswastaan dulu,” katanya. – UTUSAN










